Ticker

6/recent/ticker-posts

Purnama papar isu politik semasa sempena PRU15

November 3, 2022
KOTA BHARU: Kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 semakin rancak sekarang selepas setiap parti yang bertanding mengumumkan calon bagi mempertahankan atau merampas kerusi Parlimen.
Malah laporan mengenai kempen pilihan raya memenuhi halaman akhbar, portal berita, media elektronik atau media sosial.
Melalui media tersebut membolehkan orang ramai mendapat maklumat sebelum mereka membuat perkiraan di kertas undi pada 19 November ini.
Dan di Kelantan juga tidak ketinggalan PAS menerbit risalah khas yang dinamakan sebagai Purnama, memuatkan pelbagai berita, rencana dan analisis isu semasa yang berlaku di Kelantan dan peringkat nasional.
Akhbar terbabit bagi keluaran sulung berada di pasaran mulai malam tadi yang diedar secara percuma kepada orang ramai.
Orang ramai yang menghadiri majlis pengumuman calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad diedar Purnama setebal empat muka surat berwarna.
Malah kertas yang digunakan agak berkualiti dengan menggunakan tema Menerajui Putrajaya Malaysia Sejahtera, dengan cogan kata Prihatin-Bersih-Stabil.
Akhbar terbabit diterbit Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kelantan. Urusan penerbitannya di bawah Media Point.
Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kelantan Ahmad Fathan Mahmood berkata, akhbar tersebut akan diterbit secara harian selepas penamaan calon Sabtu ini.
Katanya, edisi kedua akan berada di pasaran pada hari Ahad sehingga 17 November ini dengan memuatkan pelbagai isu, kempen calon PN yang bertanding dan ulasan isu semasa.
“Setiap kali diadakan pilihan raya sama ada kecil atau pilihan raya umum, penerbitan khas akhbar dibuat di Kelantan bagi membekalkan maklumat semasa kepada orang ramai,” katanya di sini.
Akhbar tersebut diedarkan secara percuma ke seluruh parlimen di Kelantan yang dicetak pada tengah malam dan berada di pasaran pada sebelah pagi. – HARAKAHDAILY

 

Post a Comment

0 Comments