
KOTA BHARU: Muktamar
Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini mencatat sejarah kerana dihadiri ramai pimpinan
Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sedangkan situasi seperti itu tidak berlaku sebelum ini.
“Menariknya muktamar Dewan Pemuda kali ini kerana ada bersama pimpinan Pemuda Umno Malaysia. Kalau umat bergabung kekuatan saya percaya kita mampu mentadbir negara.
“Sebab itu ada pihak tidak mahu ada kerjasama seperti yang berlaku sekarang,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-67 di sebuah hotel di sini hari ini.
Pimpinan Pemuda Umno diketuai ketuanya Dato’ Dr Akmal Mohd Salleh hadir bersama 24 pimpinan parti itu pada perasmian Muktamar Pemuda PAS Malaysia. Turut kelihatan wakil Pemuda MCA.
Tuan Ibrahim juga berkata, cabaran besar dalam kalangan anak muda sekarang, ada golongan yang mulai muak dan bosan dengan politik kerana bagi mereka penuh pertelingkahan.
Sedangkan katanya berdasar data terdapat kira-kira 52.8 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dalam kalangan anak muda berusia bawah 40 tahun.
Menurut beliau sekiranya perkara itu dibiarkan ia cukup merbahaya kerana ada generasi yang tidak cakna terhadap politik.
“Jadi kita perlu perkasa dan perkukuh politik anak muda kerana politik adalah satu juzuk dalam Islam. Kalau tiada political will kita tidak dapat melaksanakan apa yang diperintahkan Allah Taala,” ujarnya.
Beliau juga berkata, media sosial menjadi medan ‘perang pilihan raya’ di era sekarang.
Oleh itu katanya, perlu ada team Pemuda PAS menguasai lapangan media sosial dan jangan biarkan medan tersebut dipenuhi perkara yang tidak baik sehingga boleh merosakkan generasi akan datang.
Sebelum itu Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya mengundang lima wakil Pergerakan Pemuda Umno hadir pada muktamar PAS.
“Dalam surat jemputan kita jemput lima orang pimpinan Pemuda Umno tetapi yang hadir hari ini seramai 25 orang.
“Dan minggu hadapan pula akan berlangsung Perhimpunan Agung Umno, nasib baik muktamar PAS diadakan lebih awal,” ujarnya.



0 Comments