KOTA BHARU: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama pernah menanyakan pemimpin PAS siapa yang akan dilantik sebagai perdana menteri (PM) sekiranya parti itu menguasai Putrajaya.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ketika itu Obama datang ke Kuala Lumpur dan menjemput pemimpin PAS hadir di kedutaan AS.
“Jadi saya minta Dato’ Seri Takiyuddin dan Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pergi ke Kedutaan AS. Pada pertemuan itu pemimpin AS memberitahu sedia membantu PAS menerajui kerajaan. Dua pemimpin yang hadir pada pertemuan tersebut tergaman.
“Selepas itu pemimpin AS mahu berjumpa dengan saya pula. Jadi saya pergi ke Kedutaan AS dengan ditemani Dato’ Mustafa Ali. Pada pertemuan itu mereka tanya siapa akan dilantik sebagai perdana Menteri sekiranya PAS menguasai negara.
“Maka saya jawab pemimpin mana yang AS minat untuk dilantik sebagai perdana Menteri daripada PAS,” katanya pada ucapan penggulungan dan amanat pada Muktamar PAS kali ke-72 di Dewan Tok Guru PUTIK petang ini.
Pada April 2014 Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur bagi meningkatkan hubungan dua hala di antara Malaysia-AS.
Lawatan tiga hari Obama ke Malaysia adalah yang pertama oleh seorang Presiden Amerika selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.
Kata Tuan Guru Abdul Hadi apabila sampai masanya akan tiba siapa pemimpin yang layak dilantik sebagai ketua kerjaan.
Beliau juga berkata, kalau Islam memerintah tidak akan diroboh gereja atau rumah ibadat agama lain dan ia berbeza kalau agama lain menguasai kerajaan.
Cabaran
Menurutnya juga perkembangan PAS sekarang begitu menakjubkan memandangkan semakin ramai tokoh dan pemimpin daripada pelbagai bidang kerjaya bertali arus menyertai PAS.
Kata beliau juga berkata, parti Islam sering berdepan dengan pelbagai kesukaran dan halangan apabila dipilih rakyat menerajui kerajaan.
“Pada tahun 1955 Parti Masyumi menang pilihan raya di Indonesia, namun disekat daripada menerajui kerajaan. Begitu juga Hamas menang pada pilihan raya di Palestin turut dihalang membentuk kerajaan.
“Malah negara-negara Arab juga tidak mengiktiraf kemenangan Hamas biarpun menang mengikut lunas-lunas demokrasi. Situasi seperti berlaku kerana menang atas nama parti Islam,” katanya.
Begitu apa yang berlaku di Malaysia, PAS menerima tekanan hebat seperti yang berlaku di Kelantan selepas parti berkenaan menguasai kerajaan negeri.
Mengenai kelayakan calon yang akan mewakili PAS katanya, senarai calon perlu mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama.
Kata beliau individu kurang mengutamakan solat tidak layak menjadi calon PAS kerana amat penting dalam Islam orang yang sentiasa ada hubungan dengan Allah dilantik sebagai pemimpin.
Menurutnya juga Islam membenarkan orang bukan Islam dilantik sebagai menteri, namun kementerian terbabit bukan terlibat sebagai pembuat dasar penting kerajaan.
“Menteri bukan Islam boleh dilantik menerajui kementerian yang tidak terlibat dengan pembuat dasar penting kerajan. Perkara itu ada disebut dalam kitab fiqh termasuk karangan Imam Syafie,” ujarnya.
Sementara itu sempena muktamar tersebut yang berlangsung sejak Jumaat sehingga petang ini sebanyak RM27, 000 dikumpul hasil derma daripada perwakilan, pemerhati dan orang ramai yang hadir.
Muktamar PAS kali ke-72 yang bermula Jumaat lepas melabuh tirai kira-kira jam 330 petang ini. Muktamar Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat diadakan pada Khamis.
Manakala konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS dan Dewan Assabiqun pula turut diadakan pada hari sama.





0 Comments