Rahsia jatuh bangun PAS dipamer di PUTIK

 

KOTA BHARU: Menjelang muktamar tahunan PAS kali ke-72 yang kembali semula ke Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas enam tahun, malam tadi diadakan solat hajat.

Solat hajat diimamkan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail diadakan di khemah surau PUTIK.

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Dato' Seri Takiyuddin Hassan; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Selain itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Daud dan Naib Ketua Dewan Muslimat negeri, PAS Dato’ Rohani Ibrahim.

Muktamar kali ini juga mencatat sejarah apabila diadakan sambutan Jubli Intan PAS Pusat selepas ditubuh pada tahun 1951.

Takiyuddin berkata, sambutan 75 tahun PAS bermula hari ini sehingga 5 September dipenuhi dengan pelbagai program dan aktiviti menarik.  

Katanya, pelbagai acara diadakan termasuk 100 gerai jualan, pameran sejarah PAS, pencapaian kerajaan empat negeri (SG4) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Pameran turut disertai agensi-agensi kerajaan dari SG4. Selain itu pameran 75 tahun PAS yang akan mempamerkan sejarah PAS bermula tahun 1951 dan perkembangan yang berlaku di negeri-negeri ditadbir PAS,” katanya di sini.  

Malam ini juga akan berlangsung perasmian Ekspo Keusahawan dan Jualan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang dijangka disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan di tapak ekspo.

Gerai jualan bermula pagi tadi dimeriahkan dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa, dan jam 3 petang ini akan diadakan pertandingan bbidah (lastik) dan persembahan busking YayaBand.

Sempena perasmian diadakan persembahan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air, Hijjaz.

Gerai jualan dan promosi produk diteruskan hari kedua (Khamis) bermula jam 9 pagi dimeriahkan pertandingan pidato cilik, majlis Mahabbbah Bersama Masyarakat Orang Asli dan jam 3 petang demontrasi masakan Chef Ustazah dan berakhir dengan pentas pemuda.

Pada petang Jumaat ekspo keusahawan diteruskan dengan sepetang anak muda bersama Ustaz Azhar Idrus, selepas Maghrib slot Sembang Perjuangan Bersama Naib Presiden PAS, Dato’ Amar Diraja Mohd Amar Abdullah dan berakhir dengan ceramah perdana sempena sambutan Jubli Intan PAS.

Pada Sabtu jam 10 pagi akan dilangsungkan Podcast Mek Kelate dan persembahan dikir barat. 

Dan esok juga akan berlangsung muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Pusat. Selain itu Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS dan Dewan Assabiqun.

Perasmian muktamar akan diadakan pada pagi Jumaat dengan ucapan dasar disampaikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.  

Penolong Setiausaha Agung PAS Khairul Faizi Ahmad Kamil turut mempelawa penduduk tempatan dan pelancong dari luar Kelantan berkunjung ke PUTIK sempena cuti sekolah sekarang bagi mengikuti Muktamar Tahunan PAS.

“Salah satu lokasi yang anda mesti singgah ialah pameran 75 tahun PAS. Banyak sejarah yang anda mesti tahu dan lihat.

“Pameran Arkib Jubli Intan 75 Tahun PAS memaparkan susur galur, detik-detik penting, serta warisan perjuangan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 sehingga kini,” ujarnya.


 

Post a Comment

0 Comments