Ticker

6/recent/ticker-posts

Minda Presiden PAS ISLAM UNTUK SEMUA, BERKONSEPKAN WASATIYYAH Islam itu sempurna ajarannya, serta...



Minda Presiden PAS

ISLAM UNTUK SEMUA, BERKONSEPKAN WASATIYYAH

Islam itu sempurna ajarannya, serta bersesuaian untuk dilaksanakan pada semua tempat, keadaan dan sepanjang zaman kepada seluruh manusia. Ajarannya juga bersifat wasatiyyah.

Wasatiyyah bermakna berada di tengah, bersikap sederhana dan berlaku adil. Perkara ini terbukti, apabila umatnya berpegang terhadap ajaran Islam yang sebenar secara sempurna dengan melaksanakan kewajipan menyampaikan Islam dan melaksanakan keadilannya kepada seluruh manusia.

Terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan Sunnah menjadi bukti yang nyata tentang konsep wasatiyyah ini. Antaranya, firman Allah SWT:

﴿شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَأُوْلُواْ ٱلۡعِلۡمِ قَآئِمَۢا بِٱلۡقِسۡطِۚ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ١٨ إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُ...١٩﴾

"Allah menyatakan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Tuhan yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tiada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (18) Sesungguhnya, agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam... (19)" (Surah Ali 'Imran: 18)

Seterusnya, Allah SWT menyatakan sifat wasatiyyah kepada penganut Islam yang sebenar, dengan memerintahkan mereka agar berlaku adil, menjadi contoh dan menjadi saksi di dunia dan akhirat terhadap para rasul yang menyampaikan Islam kepada seluruh manusia. Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗا...١٤٣﴾
"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (segala perbuatan) manusia dan agar Rasul (Nabi Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu..." (Surah al-Baqarah: 143)

Firman Allah SWT:

﴿كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ...١١٠﴾

"Kamu ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada perkara yang ma'ruf (kebajikan), dan mencegah daripada perkara yang munkar (haram dan keji), dan beriman kepada Allah..." (Surah Ali 'Imran: 110)

Islam berada di tengah persimpangan berbagai-bagai ajaran agama dan ideologi, sama ada ajaran yang bersifat liberal mahupun ekstrem yang telah menyimpang daripada jalan yang lurus. Hal ini demikian kerana, Islam membawa manusia ke arah matlamat asal mereka diciptakan, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Allah Pencipta alam yang Maha Rahmat, Maha Bijaksana dan Maha Adil.

Petunjuk yang sempurna dan saksama hendaklah memenuhi fitrah penciptaan manusia dari segi jasad, roh dan akal, individu, keluarga dan masyarakat, serta hubungan dengan alam sekeliling. Fitrah tersebut sesuai mengikut peranan hamba Allah SWT yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi dan menguruskan makhluk-Nya dengan berpandukan petunjuk-Nya yang sempurna. Semua aspek itu terdapat dalam ajaran Islam.

Hal ini sekali gus, menunjukkan bahawa Islam itu wasatiyyah dalam semua perkara yang berkait dengan kehidupan manusia. Bermula daripada perkara ibadat, keperluan hidup makanan, minuman, pakaian serta pengurusannya, politik, ekonomi dan lain-lain.

Bagi mengetahui tasawur atau hakikat Islam yang sebenar, maka hendaklah merujuk kepada sumbernya yang sebenar melalui kajian. Kedua-dua sumber rujukan tertinggi dalam Islam ialah kitab suci al-Quran dan perjalanan Rasulullah SAW yang dipilih untuk menerimanya daripada Allah SWT, malah Baginda menjadi contoh pelaksanaannya secara amali.

Malah, Allah SWT juga menolak golongan mereka yang sesat dan golongan yang melampau sehingga terpesong. Bukan sahaja daripada kalangan bukan Islam, bahkan juga daripada kalangan mereka yang mengaku Islam, tetapi terkeluar daripada landasannya yang sebenar.

Manusia itu berbeza dengan makhluk yang lain, seperti para malaikat di alam rohani, binatang tanpa akal, tumbuhan yang hidup tanpa bergerak dan batu yang jumud. Manusia tidak boleh disamakan pendekatannya dengan kejadian makhluk yang lain.

Rasulullah SAW menolak permintaan orang yang meminta supaya dihalalkan perkara yang haram, dan menolak mereka yang melampau dalam beribadat sehingga sanggup meninggalkan perkara yang halal kerana terlalu bersifat rohani. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿قُلۡ تَعَالَوۡاْ أَتۡلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمۡ عَلَيۡكُمۡۖ أَلَّا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيْـًٔاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗاۖ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَوۡلَٰدَكُم مِّنۡ إِمۡلَٰقٖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكُمۡ وَإِيَّاهُمۡۖ وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلۡفَوَٰحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡهَا وَمَا بَطَنَۖ وَلَا تَقۡتُلُواْ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِي حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَعۡقِلُونَ١٥١ وَلَا تَقۡرَبُواْ مَالَ ٱلۡيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ أَشُدَّهُۥۚ وَأَوۡفُواْ ٱلۡكَيۡلَ وَٱلۡمِيزَانَ بِٱلۡقِسۡطِۖ لَا نُكَلِّفُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَاۖ وَإِذَا قُلۡتُمۡ فَٱعۡدِلُواْ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰۖ وَبِعَهۡدِ ٱللَّهِ أَوۡفُواْۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ١٥٢﴾

"Katakanlah: 'Marilah aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhanmu ke atas kamu; (iaitu) janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua-dua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan, Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.' Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahaminya. (151) Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat (untuk memeliharanya), sehingga dia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun dia adalah kerabatmu, dan penuhilah janji Allah. Dengan yang demikian itulah, Allah memerintahkan kepadamu agar kamu beringat. (152)" (Surah al-An'am: 151-152)

Apabila ada dalam kalangan para sahabat yang mahu kuat beribadat sehingga tidak mahu makan yang lazat, berpakaian cantik, tidak mahu berkahwin, meninggalkan berkeluarga dan lain-lain, maka Allah SWT mewahyukan firman-Nya:

﴿قُلۡ مَنۡ حَرَّمَ زِينَةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِيٓ أَخۡرَجَ لِعِبَادِهِۦ وَٱلطَّيِّبَٰتِ مِنَ ٱلرِّزۡقِۚ قُلۡ هِيَ لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا خَالِصَةٗ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَعۡلَمُونَ٣٢﴾

"Katakanlah: 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk para hamba-Nya dan (siapakah pula yang mengharamkan) rezeki yang baik?' Katakanlah: 'Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) pada Hari Kiamat.' Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui." (Surah al-A'raf: 32)

Dalam aspek ekonomi Islam pula, ia sangat berbeza dengan konsep yang terdapat dalam ideologi liberal kapitalisme, sosialisme, komunisme dan pragmatisme kerana semua ideologi itu berprinsipkan kebendaan semata-mata. Sehinggakan, semua fahaman itu berpisah daripada roh dan sekadar berpandukan akal yang lemah.

Perbezaan dasar dan konsep, serta tiada hubungannya dengan agama, telah menyebabkan fahaman tersebut lemah dari segi akhlak dan sekali gus merosakkan hubungan bermasyarakat sesama diri mereka sendiri. Firman Allah SWT dalam al-Quran:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٧﴾

"Apa sahaja harta rampasan (fai') yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) milik penduduk kota-kota (tanpa berperang), maka adalah ia tertentu untuk Allah, dan untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan (musafir yang keputusan bekalan); (ketetapan sedemikian) supaya harta itu tidak beredar antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu sahaja. Dan apa jua perintah yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah (serta amalkanlah). Dan apa jua yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukuman-Nya." (Surah al-Hashr: 7)

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا٢٩﴾

"Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu, dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya; kerana akibatnya kamu akan menjadi tercela dan menyesal." (Surah al-Isra': 29)

Dalam aspek politik pentadbiran pula, Islam menentang konsep 'dictatorship' (pemerintahan secara diktator). Walaupun ajaran Islam lebih hampir kepada konsep demokrasi disebabkan konsep syura yang terdapat dalam ajarannya, namun Islam tidak pula hanyut seperti demokrasi Barat yang tidak beragama, tidak berakhlak dan tidak bermoral. Firman Allah SWT:

﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾

"Maka, tetaplah kamu berada pada jalan yang benar (istiqamah), sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu kelak disentuh oleh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)" (Surah Hud: 112-113)

Al-Quran merakamkan bahawa semua para rasul yang membawa Islam itu menentang golongan diktator yang zalim pada zaman masing-masing. Selain itu, mereka juga menentang rakyat yang diperbodohkan oleh pemimpin yang zalim atau diri mereka sendiri jahil tanpa berfikiran sihat dan berhidayah. Sama ada secara individu atau kumpulan (golongan al-mala').

Keadilan Islam pula menyeluruh kepada seluruh manusia bermasyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dalam segala aspek seperti politik, ekonomi, kehakiman dan lain-lain. Malah, juga berlaku adil kepada semua pihak, termasuk terhadap musuh yang zalim dan melampau, sehinggakan mereka tidak boleh dihukum dan diambil tindakan sewenang-wenangnya.

Keadilan itu ditegakkan berasaskan kepada amanah besar untuk memilih pemimpin dan melaksanakan hukuman. Perkara ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

"Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Nisa': 58)

Oleh itu, umat Islam diharamkan melantik pemimpin yang fasiq dan jahil. Makna fasiq itu dihuraikan dengan perbuatan mengerjakan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan amalan dosa kecil dan tidak bermaruah. Hal ini sangat penting, kerana memilih pemimpin merupakan suatu amanah yang sangat besar.

Bahkan, Islam juga memerintahkan agar melaksanakan keadilan secara mutlak, termasuk terhadap musuh-musuh di medan perang. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يٰٓاَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Ma'idah: 8)

Sekalipun Islam mewajibkan umatnya mengadakan peperangan bagi menentang kezaliman dan pencerobohan yang menyerang, namun umat Islam tetap diharamkan bersikap melampau. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

"Dan perangilah di jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Surah al-Baqarah: 190)

Dalam pada itu, Islam juga mengharamkan umatnya daripada membunuh orang awam, paderi dan sami di rumah-rumah ibadat yang tidak terlibat dengan peperangan. Bahkan, turut diharamkan menyeksa jasad musuh yang sudah mati dan diwajibkan menjaga tawanan dengan baik.

Islam juga mengharamkan tindakan membunuh utusan atau duta negara asing, termasuk mereka yang sedang berperang.

Apabila Islam sudah menang dan berkuasa, masih tetap diharamkan sebarang tindakan melampau. Bahkan, umat Islam digalakkan untuk bersabar dan memberikan keampunan. Firman Allah SWT:

﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨﴾

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125) Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan ke atasmu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar. (126) Dan bersabarlah (wahai Muhammad), dan tiadalah berhasil kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah; dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekufuran) mereka; dan janganlah kamu bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka lakukan. (127) Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128)" (Surah al-Nahl: 125-128)

Apabila Rasulullah SAW berjaya menguasai Makkah sepenuhnya, Baginda memberikan pengampunan secara beramai-ramai terhadap mereka yang pernah menzaliminya, membunuh keluarga serta sahabatnya yang dikasihi.

Malah, cara yang sama dilakukan oleh Islam terhadap negara yang pernah menceroboh buminya setelah mencapai kemenangan. Justeru, kedatangan Islam tidak dinamakan sebagai penjajahan, tetapi 'futuhat' (pembukaan) yakni kebebasan terhadap rakyat yang ditindas dan diperbodohkan sebelumnya.

Prinsip aqidah atau iman bersama konsep wasatiyyah yang tersebut menjadikan Islam mudah diterima apabila seluruh ajarannya dilaksanakan. Semua negara penjajah yang menyebarkan Islamofobia pada hari ini adalah semata-mata kerana mereka takut terpengaruh setelah membaca sejarah kejayaan Islam pada zaman keemasannya dahulu.

Bacalah juga al-Quran dengan kajian yang ikhlas bersama sejarahnya daripada sumber yang sahih dan adil, bukan secara fanatik dan dendam.

Apabila Rasulullah SAW yang membawa al-Quran dan peribadinya pula dituduh seorang yang gila, penyihir dan lain-lain, maka Allah SWT berfirman:

﴿قُلۡ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍۖ أَن تَقُومُواْ لِلَّهِ مَثۡنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُواْۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا نَذِيرٞ لَّكُم بَيۡنَ يَدَيۡ عَذَابٖ شَدِيدٖ٤٦ قُلۡ مَا سَأَلۡتُكُم مِّنۡ أَجۡرٖ فَهُوَ لَكُمۡۖ إِنۡ أَجۡرِيَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ شَهِيدٞ٤٧ قُلۡ إِنَّ رَبِّي يَقۡذِفُ بِٱلۡحَقِّ عَلَّٰمُ ٱلۡغُيُوبِ٤٨ قُلۡ جَآءَ ٱلۡحَقُّ وَمَا يُبۡدِئُ ٱلۡبَٰطِلُ وَمَا يُعِيدُ٤٩ قُلۡ إِن ضَلَلۡتُ فَإِنَّمَآ أَضِلُّ عَلَىٰ نَفۡسِيۖ وَإِنِ ٱهۡتَدَيۡتُ فَبِمَا يُوحِيٓ إِلَيَّ رَبِّيٓۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٞ قَرِيبٞ٥٠﴾

"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Sesungguhnya, aku hanyalah hendak memperingatkan kepadamu satu perkara sahaja, iaitu hendaklah kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) secara berduaan (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir (tentang Muhammad) bahawa tidak didapati penyakit gila sedikit pun pada kawanmu itu (Muhammad). Dia tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi peringatan bagi kamu, sebelum kamu ditimpa (menghadapi) azab yang keras. (46) Katakanlah (wahai Muhammad): 'Apa pun jua upah yang aku yang aku minta kepadamu, maka (faedahnya) itu untukmu. Upahku hanyalah daripada Allah, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.' (47) Katakanlah: 'Sesungguhnya, Tuhanku mewahyukan kebenaran, dan Dia Maha Mengetahui akan segala perkara yang ghaib.' (48) Katakanlah: 'Kebenaran telah datang dan perkara yang batil itu tidak akan memulai dan tidak (pula) akan mengulangi.' (49) Katakanlah: 'Jika aku sesat, maka sesungguhnya bahaya kesesatan akan menimpa ke atas diriku sendiri; dan jika aku mendapat petunjuk, maka itu adalah disebabkan apa yang diwahyukan Tuhanku kepadaku. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat.' (50)" (Surah Saba': 46-50)

Al-Quran ialah kitab suci mukjizat yang selamat daripada diselewengkan dengan pindaan akal manusia seperti kitab-kitab suci yang terdahulu. Manakala hadis Rasulullah SAW pula dipelihara dengan sanad yang boleh menentukan yang taraf sesebuah itu sahih dan tidak sahih.

Ramai dalam kalangan ilmuwan dan pemimpin yang mengkaji Islam daripada sumber rujukan yang sahih telah memeluk Islam. Adakah perkara itu berlaku disebabkan kebodohannya atau diberikan upah kepadanya? Jadikan kisah sedemikian sebagai teladan untuk mengkaji dan berfikir dengan ikhlas.

PAS menetapkan dalam Perlembagaannya bahawa al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas sebagai rujukan yang tertinggi. Namun, masih terdapat banyak halangan yang pada Perlembagaan Persekutuan, kerana masih ada saki-baki warisan penjajah yang masih perlu dilakukan perubahan.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 18 Rajab 1444 / 9 Februari 2023

[Bil: 10 / 2023]



(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2023-02-08 23:30:04

#pimpinan

#pimpinan

Post a Comment

0 Comments