JOM ZIARAH GEREJA : SELESAIKAN DENGAN BERHEMAH DAN HARMONI
Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) melihat bahawa polemik yang sedang diperbahaskan dan diperdebatkan di dalam negara ketika ini iaitu yang berkaitan dengan isu program "Jom Ziarah Gereja" di Klang pada Sabtu ini yang bakal dilaksanakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Impact Malaysia perlu diselesaikan dengan cara yang berhemah dan harmoni.
Dalam membina keharmonian masyarakat Malaysia, perkara yang sensitif berkaitan dengan agama perlulah di teliti dengan sebaiknya. DHPP melihat bahawa program berbentuk kefahaman dan nilai-nilai toleransi antara agama yang ingin dilaksanakan ini pada dasarnya adalah baik namun perlu mengambil kira garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
DHPP akur tentang kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran Agama Bukan Islam dalam kalangan orang Islam. PAS adalah parti yang sangat bertoleransi dengan semua agama dan bangsa malah sangat menghormati kami sebagai anggota DHPP.
PAS tidak menghalang anggota DHPP untuk mengamalkan agama dan budaya yang kami anuti malah tidak memaksa kami untuk memeluk agama Islam. Malah pimpinan PAS turut sama menziarahi gereja dan kuil namun ianya mestilah tidak melibatkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam, apa yang paling penting difahami dalam hal isu ini adalah kenyataan-kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan Bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan, bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar.
Sekian.
YANG BERHORMAT SENATOR BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS
17 Mac 2023

(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2023-03-18 23:19:11
#pas
#pas
0 Comments