Stadium dilimpahi lagi rakyat Kelantan

KOTA BHARU: Padang Stadium Sultan Muhammad IV mengulangi sejarah lama apabila dilimpahi ribuan rakyat Kelantan sempena Himpunan Penyatuan Ummah malam ini.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan diikuti kuliah perdana disampaikan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Orang ramai membanjir kawasan sekitar Stadium Sultan Muhammad IV sejak petang bagi mengikuti program anjuran Dewan Ulamak, Dewan Assabiqun, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Karnival jualan juga disediakan di hadapan bangunan Kelantan Trade Centre. Selain itu pameran pasukan keselamatan turut menarik perhatian orang ramai.
Pentas Assabiqun menampilkan tiga bekas ahli parlimen yang berkongsi pengalaman iaitu bekas ahli parlimen Kuala Krai, Haji Nasir Daud; ahli parlimen Rantau Panjang  Haji Abdul Fatah Harun dan ahli parlimen Bachok, Dato' Dr Wan Nik Wan Yussof.

Ijtimak Pondok pula menampilkan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Ahmad Yahaya dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Manakala program Dewan Pemuda pula diadakan di dalam Stadium Sultan Muhammad IV yang dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Nawi.

Program tersebut diadakan serentak bermula selepas solat Asar sehingga jam 6.30 petang. Selepas itu orang ramai mulai bergerak memasuki stadium.

Catat Ulasan

0 Ulasan