Pemain veteran imbau kejayaan skuad Kelantan-Pahang

Oleh: Damia Hana | 
KOTA BHARU: Bekas pemain pertahanan The Red Warriors (TRW), Mohd Daudsu Jamaludin mencabar pengurusan dan barisan pemain baharu Kelantan untuk melakar pencapaian lebih baik berbanding generasi terdahulu bagi mengembalikan kegemilangan pasukan itu. 

Daudsu  berkata, rekod kejayaan terdahulu akan terus menjadi ukuran selagi pasukan sekarang belum mampu mencipta pencapaian yang lebih membanggakan.

Menurutnya, pasukan Kelantan perlu membuktikan kemampuan untuk membina sejarah tersendiri, sekali gus mengubah persepsi penyokong masih terikat dengan kejayaan masa lalu.

“Saya cabar pengurusan dan pemain-pemain baharu untuk pecah rekod kami supaya perkara ini tidak terus menjadi bualan orang yang mengatakan kita tidak boleh ‘move on’," katanya pada sidang media  sempena Majlis Pelancaran Jersi perlawanan Ex-Treble Kelantan menentang pilihan veteran Pahang pada 7 November ini di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Perlawanan anjuran PUC Sport itu menghimpunkan bekas pemain kedua-dua pasukan dalam usaha mengembalikan kemeriahan bola sepak yang pernah menjadi tarikan utama penyokong.

Dianggarkan 80 peratus bekas pemain Kelantan akan beraksi pada perlawanan itu.

Daudsu berkata, generasi baharu Kelantan diharap mampu menghasilkan kejayaan tersendiri bagi menarik minat penyokong.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUC Sport Sdn Bhd, Mohd Shukry Pauzi berkata, perlawanan persahabatan antara veteran X Level Kelantan dengan pilihan veteran Pahang bertujuan menghidupkan kembali suasana meriah bola sepak tempatan.

Katanya, pihaknya menyasarkan kehadiran antara 25,000 hingga 30,000 penonton berdasarkan sambutan positif yang diterima daripada penyokong Pahang. 

Beliau berkata, pertembungan dua pasukan yang pernah mencipta nama dalam arena bola sepak negara, khususnya sekitar 2013 hingga 2015, diharap dapat menyemarakkan semula minat penyokong terhadap sukan tersebut.

Menurutnya, perlawanan itu turut membuka ruang untuk menghidupkan kembali semangat bola sepak Pahang yang sudah lama tidak beraksi dalam liga utama negara.

Dalam pada itu, Pengurus Ex-Treble Kelantan, Azman Ibrahim berkata, tarikan utama perlawanan tersebut bukan hanya terletak pada keputusan di atas padang, sebaliknya  peluang menemukan semula bekas pemain dan penyokong yang pernah bersama-sama mencipta kenangan manis.

Beliau berharap perlawanan berkenaan dapat menyuntik semangat baharu sukan bola sepak tempatan, selain mengembalikan suasana sokongan penyokong yang pernah mewarnai persaingan antara Kelantan dan Pahang.

Kata beliau juga penganjuran itu turut membuka kemungkinan untuk diperluas kepada pasukan lain yang pernah mencipta nama dalam bola sepak negara, termasuk Selangor dan Terengganu.

Catat Ulasan

0 Ulasan