Perutusan Aidilfitri 1444H
YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan
Menteri Besar Kelantan
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1444 hijriah buat seluruh umat Islam khususnya kepada rakyat negeri Kelantan Darul Naim yang dikasihi.
Nikmat Aidilfitri yang kita kecapi ini merupakan satu anugerah dan ibadah yang besar. Ia juga adalah hadiah daripada Allah SWT.
Tanda kesyukuran Aidilfitri, umat Islam bersama-sama melafazkan takbir, tahmid dan tasbih membesarkan Allah SWT di atas kejayaan kita mendidik nafsu dalam meraih kelebihan tarbiah madrasah Ramadan al-mubarak yang baru berlalu.
Semoga Aidilfitri mendidik kita menjadi umat yang satu, umat yang cintakan perjuangan Islam dan penuh dengan semangat kasih sayang. Sesungguhnya perjuangan untuk mewujudkan masyarakat bertakwa menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai umat Islam.
Sama-sama juga kita berdoa mudah-mudahan umat Islam di negara ini dan umat Islam di seluruh dunia khususnya umat Islam di bumi Palestin akan sentiasa mendapat perlindungan, pertolongan dan rahmat daripada Allah SWT.
Manfaatkan Hari Raya ini dengan ziarah- menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai bagi sama-sama memohon kemaafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Apa yang perlu kita ingat ialah janganlah sampai dalam kegembiraan itu kita lupa peringatan agama kita supaya perkara baik itu dijaga dan jangan dicemari oleh perkara-perkara yang tidak elok dan berdosa yang bertentangan dengan hukum syara'.
Sentiasa berhati-hati semasa memandu di musim perayaan dan jadikan menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan rasa terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh rakyat Kelantan termasuk anak-anak Kelantan di perantauan yang terus menyokong pentabiran Kerajaan Negeri dibawah Dasar Membangun Bersama Islam.
Terima kasih juga kepada penjawat awam, anggota pasukan keselamatan, pasukan kesihatan, pimpinan masyarakat atas pengorbanan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Saya dan saff kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1444H kepada seluruh muslimin dan muslimat.
من العائدين والفائزين كل عام وأنتم بخير
Maaf zahir dan batin.
Tulus Ikhlas;
Dato' Bentara Kanan
Ustaz Dato' Hj Ahmad Bin Yakob
Menteri Besar Kelantan
01 Syawal 1444H
...
-Baca seterusnya...
2023-04-21 08:06:00
#pimpinan
#pimpinan
0 Comments