Individu terbabit NAM perlu jalani pemulihan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu melalui proses kaunseling pemulihan dan bertaubat secara rasmi sekiranya terbukti wujud penyelewengan akidah.

Pada kenyataan media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini mengesahkan wujud siasatan dan pertemuan berhubung isu penyebaran unsur New Age Movement (NAM) yang dikaitkan dengan Senator Marhamah Rosli.

Pemimpin terbabit dikaitkan dengan dakwaan penyebaran fahaman New Age Movement serta amalan perdukunan dan sihir. Bagaimanapun beliau sebelum ini menafikan dakwaan tersebut.

Baru-baru ini JAKIM mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun berserta Panel Pakar Akidah untuk memberi teguran serta panduan kepada Timbalan Menteri terbabit.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, perkara yang menyentuh soal akidah umat Islam tidak boleh dipandang enteng atau diselesaikan di belakang pintu secara tertutup.

Apa lagi katanya, ia melibatkan pemegang amanah di peringkat pentadbiran negara yang menjaga agama umat Islam di Malaysia.

“Kami mendesak Timbalan Menteri terbabit tampil bertanggungjawab dan menyatakan pendirian secara jujur dan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Beliau wajib menjelaskan sama ada masih mengikuti dan meyakini ajaran tersebut atau sebaliknya. Setakat kenyataan sebelum ini beliau dilihat masih mengelak dan bermain tarik tali,” katanya pada kenyataan.

Oleh itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana kedudukan itu menuntut integriti akidah.

Menurutnya juga Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu segera campur tangan dalam isu terbabit.

“Campur tangan amat mendesak memandangkan majoriti umat Islam berada dalam keadaan resah dan gusar dengan dakwaan yang wujud serta sikap Timbalan Menteri yang terus meragukan,” ujarnya.

New Age Movement membawa pelbagai unsur yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, antaranya fahaman panteisme-panenteisme - monisme yang mencampuradukkan zat Allah dengan makhluk.

Selain itu kepercayaan tenaga kosmik dan cakra yang menyeleweng daripada konsep tauhid, amalan meditasi dan ‘penyembuhan spiritual’ berasaskan agama-agama bukan Islam.

Pengerusi Lajnah Ilmuwan & Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Selangor, Dr Abu Musleh pula berkata, walau sekecil mana penyelewengan akidah ia membawa kesan jangka panjang terhadap keimanan individu dan masyarakat.

Katanya, lebih membimbangkan lagi apabila istilah Islam yang sahih sengaja dipinjam untuk menutup fahaman yang bercanggah.

“Pihak berautoriti wajar meneliti setiap istilah yang digunakan dalam mana-mana program kerohanian atau pembangunan insan oleh sebahagian penceramah motivasi yang menggunakan istilah yang dikaitkan dengan New Age Movement,” katanya.

Ugut

Kata beliau juga tindakan Timbalan Menteri memberi tempoh 24 jam kepada pengkritik untuk menarik balik tuduhan serta membuat permohonan maaf terbuka, disertai ugutan tindakan undang-undang dianggap tidak profesional.

Menurutnya tindakan menggunakan kepala surat pejabat untuk menjawab isu peribadi tidak boleh dipandang mudah.

“Mufti, JAKIM, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan pihak berautoriti agama negeri perlu memantau dan mengkaji isu tersebut secara telus dan konsisten,” ujarnya.

PAS Sabah turut menggesa Marhamah meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan penglibatannya terhadap fahaman New Age Movement.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Dato’ Dr Aliakbar Gulasan berkata, peletakan jawatan merupakan langkah yang wajar.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya individu terbabit enggan berbuat demikian, Perdana Menteri perlu mengambil tindakan menyingkirkannya daripada jawatan tersebut.

“PAS Sabah menegaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah yang diwartakan di Sabah hendaklah terus dipertahankan sebagai panduan umat Islam.

“Pegangan tersebut sebagai benteng yang memelihara kemurnian akidah umat Islam. Justeru, PAS Sabah menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, institusi pendidikan, masjid dan ibu bapa memperkukuh pendidikan akidah supaya tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.

Menurutnya amanah portfolio Hal Ehwal Agama menuntut keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan seseorang pemimpin mempertahankan agama.

 


Post a Comment

0 Comments