Kerajaan Kelantan rakam ucapan takziah

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga di atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, keluarga Tun diharap dikurnia ketabahan menghadapi dugaan tersebut, ekoran hilangan insan tersayang.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala dosa dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya pada kenyataan.

Allahyarham Dr Hasmah dilapor menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi ini, pada usia 100 tahun.

Dr Hasmah meninggalkan tujuh anak. Allahyarham antara tokoh wanita disegani di negara ini di atas sumbangannya dalam bidang perubatan dan khidmat kemasyarakatan.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, PAS turut merakamkan ucapan takziah kepada  keluarga Dr Mahathir di atas pemergian isterinya.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, Allahyarhamah direkodkan sebagai wanita pertama di Malaysia yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan kerajaan.

Katanya, arwah turut memainkan peranan dalam membantu menaikkan martabat wanita Malaysia merangkumi pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan dan ekonomi sepanjang Dr Mahathir berhidmat sebagai Perdana Menteri.

“Ahli-ahli PAS khususnya dan seluruh warganegara turut merasa kehilangan Allahyarhamah. Semoga roh Tun Dr Siti Hasmah ditempatkan bersama para solehin,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments