Lagi bandar baharu muncul di Kelantan

MACHANG: Pembangunan bandar baharu di Kelantan terus rancak, biarpun pernah dimomokkan sebagai negeri mundur di negara ini.

Namun, hasil kesungguhan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT)  dengan kerjasama syarikat swasta banyak bandar baharu muncul di Kelantan termasuk Bandar Seri Mentara di Machang.

Bandar baharu di Machang turut dilengkapi pasar awam, surau, tandas awam, perhentian bas ekspres, rumah sampah dan parkir.

Yang Dipertua Majlis Daerah Machang (MDM), Zamri Ibrahim berkata, pembangunan bandar baharu bermula pada tahun 2022 dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama syarikat swasta.

Katanya, pembangunan Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang semakin rancak pada 2025 yang kini siap sepenuhnya dan dilengkapi 169 unit rumah kedai.

“Ini merupakan satu langkah ke hadapan memperkukuh pembangunan ekonomi setempat. Perkembangan yang berlaku ini penting dalam usaha meningkatkan ekonomi penduduk di Machang.

“Bandar Seri Mentara menyediakan kemudahan lebih tersusun dan berpotensi menjadi pusat pertumbuhan baru bagi merancak pembangunan ekonomi dan perdagangan,” katanya pada perasmian Bandar Seri Mentara dan Pasar Awam Machang petang ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Tengku Faziharudean Tengku Feissal, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.  

Bandar Seri Mentara dibangun di kawasan seluas 23.58 ekar melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM70 juta.

Bandar Seri Mentera mengandungi 169 unit kedai dua tingkat, dilengkapi kemudahan awam antaranya pasar awam bernilai RM5 juta, stesen bas (RM1.2 juta), surau (RM600,000), tandas (RM180,000) dan rumah sampah (RM100,000).

Zamri juga berkata, perpindahan peniaga dari pasar lama ke pasar baharu mendapat kerjasama semua pihak diadakan pada 23 Julai lalu berjalan secara aman dan teratur.

“Kesediaan peniaga menerima perubahan dan sedia berpindah ke lokasi baharu dirakam penghargaan tinggi,” katanya.

Menurutnya juga MDM turut memindahkan Pasar Borong Wakaf Bata ke lokasi baharu bermula pada Februari lepas yang menyediakan 84 lot niaga terbuka dan tertutup.

Kata beliau pasar borong baharu dibangun dengan kos RM1.9 juta memberi ruang lebih tersusun kepada peniaga menjalankan perniaaan dalam suasana kondusif.

Beliau juga berkata, MDM menjalankan pendekatan sifar sampah sebagai elemen penting dalam pengurusan Bandar Seri Mentara selaras kempen Kelantanku Bersih dan Machangku Ceria.

"MDM juga bergerak ke arah Bandar Pintar dan Bandar Selamat. MDM menerima pengiktirafan peringkat kebangsaan melalui penarafan lima bintang program Kesihatan Persekitaran PBT Cemerlang,” katanya.

Menteri Besar pula berkata, kewujudan Bandar Seri Mentara memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan melalui aktiviti perniagaan.

Katanya, setiap pembangunan dilakukan diharap dapat membina kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Menteri Besar mengumum peruntukan sebanyak RM85,200 bagi membantu peniaga untuk menjelaskan sewaan kepada MDM dalam tempoh tiga bulan bermula awal beroperasi.


 



Post a Comment

0 Comments