Ticker

6/recent/ticker-posts

Minda Presiden PAS RASULULLAH SAW TELADAN PERPADUAN UMAT Rasulullah SAW ditugaskan menjadi rasul a...



Minda Presiden PAS

RASULULLAH SAW TELADAN PERPADUAN UMAT

Rasulullah SAW ditugaskan menjadi rasul akhir zaman kepada seluruh manusia, bahkan diamanahkan suatu tugas yang paling besar dan sangat mencabar. Hal ini disebabkan Baginda diwajibkan berada di tengah masyarakat seluruh dunia yang dikepung oleh bangsa Arab padang pasir yang paling keras dan kejam berperang, sehinggakan bangsa itu sanggup membunuh anak perempuan mereka kerana dianggap menyusahkan.

Berita kedatangan Baginda SAW disebutkan dalam semua kitab suci agama Samawi dan bukan Samawi. Kedatangannya bertepatan dengan ilmu Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia, dalam suasana dunia akhir zaman yang paling mencabar keruntuhan sisi kemanusiaan dan yang paling sombong sehingga mencabar Allah yang Maha Esa. Malah, ada dalam kalangan mereka yang lebih hina daripada binatang.

Kurniaan sedikit ilmu Allah SWT kepada manusia telah menyebabkan mereka berjaya mencapai kemajuan dari sudut teknologi dan perhubungan dalam kalangan manusia dengan cepat dan luas. Sehinggakan, muka bumi yang luas dan jauh jaraknya antara negara menjadikan masyarakat seluruh manusia umpama satu keluarga dalam satu alam dunia. Hal ini menepati firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa'); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebutkan nama-Nya, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu." (Surah al-Nisa': 1)

Manusia juga ialah sebuah masyarakat yang besar. Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam AS) dan seorang perempuan (Hawwa' AS); dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (bermasyarakat). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah al-Hujurat: 13)

Rasulullah SAW memulakan tugasnya menyampaikan Islam bermula dengan kaum dan bangsa yang berpecah belah mengikut keluarga dan suku kabilah. Dakwah dimulakan kepada keluarga yang terdekat dan menyatukan bangsa Arab yang berpecah belah bersama Islam. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤﴾

"Dan berikanlah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat." (Surah al-Shu'ara': 214)

Baginda mengumpulkan anggota keluarga terdekat, lalu diajak masuk Islam. Ada sebahagiannya yang masuk Islam, namun ada juga sebahagiannya yang tidak mahu masuk Islam tetapi mempertahankannya dengan semangat fanatik keluarga. Hanya segelintir sahaja daripada kalangan keluarga yang menentang dakwah Islam.

Rasulullah SAW berdakwah secara terbuka kepada suku Quraisy yang merupakan kabilah Arab yang paling besar pengaruhnya dalam kalangan bangsa Arab. Hanya sebahagian daripada mereka sahaja menerima Islam, disebabkan merasa takut untuk menghadapi pemimpin Makkah yang zalim menentang sekeras-kerasnya kerana dianggap telah mencabar kedudukan dan pengaruhnya. Sebahagiannya percaya kepada benarnya Islam dan ketinggian akhlak keperibadian Rasulullah SAW, tetapi mempunyai kebimbangan terhadap pengaruh jahiliah di seluruh dunia. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

"Dan mereka berkata, 'Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami dengan serta merta akan diusir dari negeri kami.' Dan apakah Kami (Allah) tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci Makkah) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagi kamu) dari sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui." (Surah al-Qasas: 57)

Mereka mencadangkan Rasulullah SAW agar ditabalkan menjadi raja atau pemimpin tanpa Islam dapat berkuasa. Walau bagaimanapun cadangan tersebut ditolak, kerana janji Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

"(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata, 'Tuhan kami hanyalah Allah.' Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja dan rumah-rumah ibadat orang Yahudi serta masjid-masjid yang sentiasa disebutkan nama Allah banyak-banyak padanya. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)" (Surah al-Hajj: 40-41)

Allah SWT menegaskan janji-Nya terhadap kemenangan Islam dapat berkuasa memerintah negara masyarakat majmuk dengan melaksanakan prinsip serta konsep yang teguh dan sempurna.

Seterusnya, diajak para pemimpin kabilah Arab yang datang pada musim haji dalam himpunan tahunan yang menjadi ibadat dan adat. Setelah itu, seruan itu diterima oleh suku kabilah Aus dan Khazraj yang tinggal di Madinah, kerana mereka merasakan bahawa Islam boleh mendamaikan mereka yang telah berperang dalam tempoh masa yang sangat panjang. Mereka sedia menerima kedatangan Islam bagi menegakkan negara dan sedia mempertahankannya untuk menyampaikan risalah ke seluruh dunia.

Oleh itu, dengan perintah Allah SWT, Rasulullah SAW mengarahkan kabilah Quraisy yang telah memeluk Islam di Makkah, sama ada dalam kalangan kabilah atau individu yang lain supaya berhijrah ke Madinah. Kemudiannya, mereka dipersaudarakan dengan konsep persaudaraan Islam. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ١٠﴾

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat: 10)

Maka, bangsa Arab jahiliah yang keras berpecah belah dan berperang dengan ganas telah berjaya dijinakkan. Mereka yang berpecah belah mengikut keluarga bukan sahaja pecahan kabilah, dapat disatukan berprinsipkan iman dan berkonsepkan persaudaraan Islam.

Hal ini sekali gus melahirkan para pemimpin yang beraqidah atau beriman, berilmu dan berakhlak. Berbeza dengan ideologi yang tidak mempunyai aspek aqidah. Maka, Islam mewajibkan seseorang pemimpin itu beraqidah, berilmu dan berakhlak, memimpin masyarakat majmuk menegakkan konsep adil kepada semua dan berlakunya ketaatan yang ikhlas, bersatu walaupun banyak berlaku perkara berbeza dalam masyarakat majmuk. Justeru, memilih pemimpin adalah amanah wajib yang paling besar. Perkara ini ditegaskan oleh firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

"Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan Ulil Amri (ulama' dan umara') antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagi kamu) dan lebih baik akibatnya. (59)" (Surah al-Nisa': 58-59)

Syarat iman dan Islam adalah diwajibkan kepada para ulama' yang memimpin ilmu dan para umara' yang memimpin kerajaan bagi melaksanakan ilmu. Kedua-duanya dikawal oleh aqidah atau iman yang tidak terdapat dalam ideologi dan teori ciptaan manusia. Pemimpin yang ada bersamanya kekuatan bangsa yang beriman.

Setelah berjaya diwujudkan perpaduan bangsa Arab yang beriman, maka disertakan bersamanya pihak lain dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem iaitu golongan yang menerima Islam sebagai agama tertinggi daripada yang lain. Hal ini dinyatakan dalam Piagam Madinah yang disertai oleh kaum Yahudi dan Kristian dengan tegas, sebagaimana berikut:

وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، ‌فَإِنَّ ‌مَرَدَّهُ ‌إِلَى ‌اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

"Dan bahawa sesungguhnya apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan dalam kalangan para ahli yang memeteraikan piagam ini daripada apa jua perkara yang berlaku dan pertelingkahan yang ditakuti akan merosakkannya, maka hendaklah ia dirujuk kepada Allah (al-Quran) dan Nabi Muhammad SAW (Sunnah)." (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 504)

Bangsa yang memimpin negara boleh berubah dan tidak tetap, boleh digantikan kepada pihak lain yang bersama Islam. Allah SWT memberikan suatu amaran kepada bangsa Arab yang meninggalkan Islam dengan beberapa potong ayat al-Quran. Antaranya, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

"Dan jika kamu berpaling (daripada perjuangan menegakkan Islam), nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini." (Surah Muhammad: 38)

Banyak teori perpaduan yang disebutkan hanya berlandaskan kepada aspek lahiriah seperti politik atau ekonomi, atau keturunan, atau sempadan wilayah sahaja dan lain-lain. Tanpa dinafikan semuanya juga menjadi sebab, tetapi masih tidak sempurna dan mencukupi.

Kuasa politik sudah ada, malah tidak salah kekayaan dikumpulkan dengan cara yang betul bagi menjaga keturunan dan hubungan silaturrahim kerana ia juga adalah suatu kewajipan. Walau bagaimanapun, tetap tidak mampu menyatukan hati. Allah SWT berfirman:

﴿لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

"Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Anfal: 63)

Perpaduan mengikut acuan Allah SWT menghasilkan hidayah-Nya yang menguasai hati. Inilah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW melalui pemerintahan Islam yang sempurna.

Apabila kaum Yahudi dengki terhadap Islam dan penganutnya, mereka berjaya mencetuskan semula perpecahan dalam kalangan Aus dan Khazraj yang menjadi tonggak penting setelah mereka disatukan oleh Islam. Allah SWT mewahyukan firman-Nya:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah akan ni'mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) saling bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni'mat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya, agar kamu mendapat petunjuk." (Surah Ali 'Imran: 103)

Iman yang teguh ditanam dalam diri mereka melalui pelaksanaan Tarbiyyah Nabawiyyah menjadikan mereka kembali ke pangkal jalan.

Perpaduan umat Islam yang istiqamah telah berjaya memimpin manusia, kemudian diajak penyertaan bukan Islam yang tidak ekstrem bersama perpaduan kemanusiaan sejagat. Sehingga Islam berjaya memimpin negara besar selama 14 abad lamanya.

Islam pada awalnya dipimpin oleh bangsa Arab yang bersatu bersama Islam, seterusnya dipanjangkan oleh Rasulullah SAW dengan menghantar surat rasmi kepada raja-raja khususnya kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pada awalnya, mereka menentang tetapi semuanya tumbang selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Berbagai-bagai bangsa secara berduyun-duyun menganut Islam dan secara bergilir-gilir setiap bangsa menjadi pemimpin, tidak terikat dengan bangsa Arab sahaja. Sehingga berjaya mencapai Tamadun Islam yang hebat dalam segala lapangan ilmu yang menghasilkan kemajuan terkini, ditumpang sama oleh kaum lain tanpa menganut Islam dan tidak membawa kemusnahan.

Dalam lapangan Malaysia, peranan kaum Melayu bersama Islam sehingga tidak berpisah antara Melayu dengan Islam, menjadi suatu konsep masyarakat Melayu yang mudah menerima Islam. Pada masa yang sama, menjadikan Melayu tidak rasis seperti yang telah disalah anggap, sehingga membenarkan kaum lain dan penganut agama lain hidup bersama walaupun diatur oleh penjajah terdahulu.

Kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka. Mangsa kejahilan tersalah langkah politik, menghidapi penyakit rasuah, mengalami keruntuhan moral dan lain-lain penyakit dalam keadaan mereka berpecah dalam perkara cabang agama, fahaman politik, perebutan pangkat dan harta.

Jangan biarkan kuasa politik yang masih ada ini terlucut kerana jahil dan leka, kerana kuasa politik memayungi segala perkara yang lain. Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab.

PAS menyokong usaha permulaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menemukan para pemimpin Melayu, para ilmuwan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang yang berpengaruh. Ketepikan mereka yang tenggelam dalam mengejar apa sahaja cita-citanya, sehingga matlamat menghalalkan segala cara dan menyerang tokoh-tokoh Melayu secara peribadi yang berjaya dalam politik, ekonomi, akademik dengan berbagai-bagai ungkit-mengungkit dan sindiran.

Pada masa yang sama, mereka itu bersekongkol dengan kalangan yang nyata bukan Islam dan bukan Melayu yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai yang kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah. Bahkan, turut bersamanya kalangan yang ekstrem politiknya terhadap Islam dan Melayu, kalangan media yang membawa suara syaitan yang menggoda orang Melayu dan kalangan ilmuwan yang otaknya diletak ke dalam perut, mereka melompat laksana kera yang bergayut di mana pokok yang lebat buahnya termasuk buah beracun dan memabukkan.

Saya ulangi contoh yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT dalam al-Quran, sebagaimana firman-Nya:

﴿حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ١٨ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكٗا مِّن قَوۡلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ١٩﴾

"(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, 'Wahai sekalian semut! Masuklah ke dalam sarang-sarang kamu masing-masing, agar kamu tidak binasa dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedarinya.' (18) Maka, dia (Sulaiman AS) tersenyum dengan tertawa mendengar kata-kata semut itu. Lalu berdoa dengan berkata, 'Wahai Tuhanku! Berikanlah kepadaku ilham untuk tetap mensyukuri ni'mat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku, dan supaya aku dapat mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.' (19)" (Surah al-Naml: 18-19)

Binatang semut yang kecil dan lemah menjaga kaumnya secara perasaan tabii, maka di manakah letaknya orang Melayu Islam yang tidak mempunyai perasaan langsung, sehingga hilang sifat tabiinya.

Umat Islam Melayu yang mundur wajib bersatu dengan kembali semula kepada Islam, semua bangsa yang menganut Islam paling layak memimpin dunia. Inilah perkara yang sangat ditakuti oleh musuh Islam kerana kedengkian mereka terhadap Islam, bukan kerana mencari kebenaran.

Besarnya jumlah rumpun Melayu di Nusantara pasti menjadikan rantau ini sasaran musuh, jangan ada pihak yang menjadi alat musuh makhluk asing yang sentiasa ingin mengambil peluang.

Tanamkan semangat generasi awal dalam mempertahankan Islam dalam diri semua. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١ وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا٢٣﴾

"Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut-nyebutkan Allah. (21) Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat bala tentera Ahzab (golongan-golongan yang bersekutu itu,) mereka berkata, 'Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.' Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan (Islam). (22) Antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya). (23)" (Surah al-Ahzab: 21-23)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 17 Syawwal 1444 / 8 Mei 2023

[Bil: 35 / 2023]



(Feed generated with FetchRSS) ...
-Baca seterusnya...
2023-05-08 07:26:59

#pimpinan

#pimpinan

Post a Comment

0 Comments