Dabong sudah jauh berubah
Oleh SALMA HUSAIN
FOTO M RIZAL
KUALA KRAI: Sebelum ini sebut sahaja nama Dabong ramai yang ngeri, lebih-lebih lagi bagi penjawat awam. Untuk sampai ke Dabong sebelum ini hanya melalui jalan sungai dan kereta api.
Laluan sungai dengan mudek menggunakan motor galah (bot) begitu mencabar sekali menentang arus Sungai Galas. Ketika musim tengkujuh arus sungai begitu deras.
Manakala ketika kemarau pula, laluan bot banyak terhalang dengan benting pasir yang muncul di tengah-tengah sungai.
Tidak hairanlah situasi itu berlaku kerana kedudukannya kira-kira 155 kilometer dari Kota Bharu. Manakala dari Bandar Kuala Krai sejauh 73 km.
Alternatif yang ada hanya menggunakan perkhidmatan kereta api. Lebih selesa dan selamat berbanding menggunakan bot. Namun, perkhidmatan kereta api ada jadualnya.
Itu dahulu. Sekarang sudah jauh berubah. Orang ramai boleh datang ke Dabong menggunakan laluan darat yang semakin selesa. Ada tiga pilihan menggunakan jalan Sungai Syam ke Dabong, Gua Musang-Dabong dan Jeli-Dabong.
Kampung-kampung yang terdapat di sekitar Dabong termasuk Kemubu, Kuala Geris, Bukit Abu dan Kampung Durian Badak.
Train to Dabong
Dabong era sekarang sudah jauh melangkah ke hadapan. Hari ini terkenal dengan fenomena Train to Dabong.
Dabong menjadi pilihan setiap hujung minggu atau cuti persekolahan dan hari kelepasan am.
Alam semulajadi di kawasan ini begitu mempersonakan. Di kelilingi bukit bukau dan gunung serta sungai yang menyamankan.
Dabong dimasyhurkan sebagai lokasi ekopelancongan yang digemari pelancong tempatan dan asing.
Ditambah pula wujudnya kereta api baharu Tren Diesel Multiple Unit (DMU) melonjakkan lagi kedatangan pelancong ke Dabong.
Bekas Adun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Husin berkata, banyak tempat menarik di Dabong boleh dilawati sesuai dengan lokasi berbukit-bukau.
Menurutnya, antara tempat menarik sering dikunjungi orang ramai termasuk Kompleks Gua Ikan di Kampung Lepan Anjung.
Selain itu terdapat Pondok Kenerong, sesuai untuk perkhemahan, memasak dan menyaksikan aliran air jernih di celah-celah batu yang mengalir dari bukit.
Turut dikenali ramai termasuk Gunung Stong State Park, Air Terjun Jelawang, Lata Kertas, penginapan di Jelawang Pipe Resort & Extreme Park adalah antara tempat yang menarik perhatian pelancong.
Ku Zaki berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan turut menaik taraf lokasi pelancongan terbabit.
Jana pendapatan
"Setiap hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad Dabong menjadi destinasi tumpuan ramai. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.
"Ada penduduk yang menyediakan pengangkutan, berniaga kedai makan, goreng pisang, rumah penginapan dan pelbagai lagi," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Pemandu pelancong anak tempatan membawa pelancong yang datang dengan keretap api dan dibawa ke tempat menarik.
Tidak dapat dinafikan fenomena Train To Dabong membantu menjana pendapatan penduduk tempatan. Sebelum ini mereka bekerja sebagai nelayan sungai.
Namun sekarang bertukar profesionnya sebagai 'pemandu jalan' kepada pelancong.
“Dabong juga terkenal dengan mee udang, sehingga tidak sah seseorang yang datang ke Dabong jika tidak 'menjamah' mee tersebut,” ujarnya.
Kedai makan berkenaan kini semakin bertambah berbanding sebelum ini hanya ada tiga tempat sahaja.
#ppakatpertahan #MembangunBersamaIslam #PNtetapBEST #KelantanMajuRakyatSejahtera
0 Comments