TUMPAT: Ramai golongan
isteri di Kelantan aktif berniaga serta menghasilkan pelbagai produk jualan
bagi membantu suami serta keluarga menambahkan pendapatan.
Bekas Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakub berkata, usaha itu dapat memperkukuh ekonomi keluarga yang dianggap sebagai jihad ekonomi.
Katanya, tugas mencari rezeki dipikul oleh suami sebagai ketua keluarga, namun apabila isteri turut membantu ia dapat menambah lagi pendapatan keluarga.
“Peranan suami atau isteri sangat penting dalam membangunkan ekonomi keluarga, terutama dalam keadaan sekarang peningkatan kos sara hidup.
“Saya bersyukur kerana ramai golongan surirumah turut sama mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kepada penduduk di Dun Pasir Pekan hari ini.
Bantuan itu meliputi pesakit kronik, pengusaha industri kecil dan sederhana, Tabung Usahawan Wanita serta golongan armalah.
Pada majlis berkenaan sejumlah RM85,000 diagih kepada 172 penerima merangkumi pelbagai kategori. Selain itu bantuan juga dihulur untuk pembangunan masjid, surau, madrasah dan nelayan.
Ustaz Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata, Kelantan sebagai negeri berkebajikan akan terus melaksanakan agenda kebajikan bagi membantu rakyat meningkatkan ekonomi keluarga.
“Adalah diharap penerima yang terlibat dalam bidang ekonomi supaya mengembangkan perniagaan masing-masing agar mampu berdikari serta menambah pendapatan,” katanya.



0 Comments