Kak Lah perjuang pramugari Muslim tutup aurat sejak 2017

Oleh Intan Lestari

KUALA LUMPUR: Usaha Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memperjuangkan pemakaian bertudung pramugari beragama Islam di Parlimen sejak tahun 2017 kini menjadi kenyataan. 

AirAsia baru-baru ini memperkenalkan peraturan baharu yang membenarkan pramugari Muslim berhijab ketika bertugas.

Menurutnya, perkara itu sepatutnya telah lama dilaksana memandangkan isu berkenaan sudah beberapa kali dibangkitkan di Parlimen.

“Kita berharap syarikat penerbangan lain seperti Malaysia Airlines (MAS) dan Malindo juga dapat melaksanakan dasar yang sama bagi membolehkan semua pramugari beragama Islam berpakaian menutup aurat. Itu yang terbaik,” katanya di sini.

Menurutnya juga menutup aurat merupakan tuntutan fardu ain dalam Islam, walaupun seseorang itu bekerja dalam sektor perkhidmatan atau terlibat dalam promosi perniagaan.

Kata beliau berpakaian menutup aurat bukan halangan untuk berkerjaya dan memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan. 

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan itu merakam ucapan tahniah kepada AirAsia atas langkah progresif itu, yang disifatkannya sebagai satu perkembangan positif dan selari dengan keperluan pekerja Muslim.

“Saya ucapkan syabas atas peraturan baharu yang membolehkan kru kabin AirAsia berhijab,” tambahnya.

Katanya juga adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan  perintah Allah SWT  supaya dipraktikkan di negara ini.

Beliau berkata, negara sudah merdeka lebih 60 tahun dan tidak ada alasan untuk berdolak-dalik dalam isu tersebut. 

“Jadi tidak salah petugas atau pramugari di semua syarikat penerbangan di negara ini melaksanakan pamakaian bertudung,” katanya.

Sebelum ini pramugari MAS menutup aurat  semasa membawa jemaah haji ke tanah suci.

Tegasnya, kerajaan wajar meminda mana-mana akta yang menjadi halangan bagi mengarah sektor awam atau swasta membenarkan kakitangan mereka  menutup aurat bagi yang beragama Islam.

Syarikat Penerbangan Airasia  mengumum pembaharuan polisi pakaian seragam kru kabin yang membolehkan kru wanita memilih untuk memakai hijab ketika bertugas. Peraturan berpakaian hijab itu akan dilaksanakan pada bulan Ramadan 2026.

Post a Comment

0 Comments