YIK terus perkasa pendidikan Islam, lahirkan Generasi Rabbani - MB Kelantan


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco Pendidikan

KOTA DARULNAIM, 6 Disember - Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus memainkan peranan besar dalam mendidik dan membentuk sahsiah masyarakat negeri itu sejak puluhan tahun lalu, kata Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, YIK bukan sahaja menjadi tonggak dalam memperkukuhkan sistem pendidikan Islam bersepadu, malah turut memperluas jaringan pendidikan melalui sekolah menengah agama dan institusi tahfiz yang menawarkan aliran qiraat, sains serta vokasional.

“Ini menjadikan YIK sebagai kilang yang memproses dan memberikan didikan bersepadu kepada rakyat Kelantan khasnya, serta negeri-negeri lain amnya,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari YIK, di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, graduan YIK saban tahun berjaya melanjutkan pengajian ke pelbagai bidang sehingga melahirkan tokoh politik, akademik dan profesional yang disegani.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa agenda pendidikan melalui pengukuhan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan yang sentiasa dipantau pelaksanaannya.

“Saya mahu dasar ini dilaksanakan secara menyeluruh kerana ia amat penting untuk menangani kebejatan sosial yang semakin berleluasa. Kita juga mahu melahirkan generasi Rabbani yang mampu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran," katanya.


Selain YIK katanya, kerajaan turut memperkukuh Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dalam memperkasakan agenda pendidikan, yang mana KIAS kini menawarkan pengajian sehingga ke peringkat PhD berbanding hanya diploma pada awal penubuhannya.

Beliau berkata usaha itu termasuk membuka ruang kerjasama dengan institusi pengajian tinggi luar negara bagi memberi peluang lebih luas kepada pelajar.

Menteri Besar turut menaruh harapan tinggi agar warga YIK terus menjaga reputasi dan kecemerlangan yang telah dibina di samping merakam penghargaan kepada semua penerima hadiah dan anugerah pada majlis berkenaan, sambil berharap ia menjadi pemangkin motivasi untuk terus mencapai kecemerlangan.

“Kepada para guru, selain mengajar, mereka perlu menjadi contoh teladan melalui dakwah bil hal untuk membentuk keperibadian pelajar,” katanya.

Dalam majlis tersebut, pelbagai anugerah turut disampaikan. Antaranya anugerah tokoh pendidik YIK, anugerah pelajar mithali, anugerah pelajar cemerlang dalam peperiksaan utama, anugerah peningkatan GPS dalam peperiksaan utama dan banyak lagi.

Tokoh pendidik YIK 2025 dianugerahkan kepada Ustaz Muhamed Ya dan disampaikan oleh Menteri Besar. Beliau menerima cek bernilai RM10,000, plak, sehelai blazer dan sijil penghargaan.



Hadir sama, Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, Penasihat Negeri Kelantan YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan YB Dato' Rosnazli Amin, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat, sebahagian Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengarah YIK Dato' Zulkifle Abdul Rahman.

Post a Comment

0 Comments