KOTA BHARU - Berbaki dua hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama menyaksikan kekecewaan dalam kalangan ahli akar umbi PKR Cabang Kota Bharu memuncak.
Ia berikutan kerusi diserahkan kepada Amanah, sekaligus bertentangan dengan apa yang dikatakan sebelum ini akan ditandingi oleh calon PKR.
Naib Ketua PKR Kota Bharu, Nik Rashid Nik Ismail, berkata rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi memandangkan persiapan dan gerak kerja bagi menghadapi PRN ini telah dimulakan sejak dari awal lagi.
“Ia termasuk ceramah-ceramah kelompok, disusuli dengan ceramah besar malah membabitkan pimpinan utama parti yang turun membantu apabila tarikh PRN semakin hampir,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu.
Menurutnya, PKR Kota Bharu telah membuka markas jentera melibatkan 12 buah pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Kota Lama bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Terdahulu Amanah sebagai komponen Pakatan Harapan (PH) mengumumkan DUN Kota Lama akan ditandingi calonnya iaitu Dr Hafidzah Mustakim.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu Hafidzah merupakan calon PH bagi kerusi Parlimen Kota Bharu tewas kepada penyandang, Dato’ Takiyuddin Hassan dari PAS dengan majoriti 22,613 undi.
0 Comments