Jawapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung kritikan terhadapnya berkaitan penggunaan helikopter disifatkan sebagai ‘angkuh’ dan ‘bongkak’.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), dalam satu kenyataan berkata sikap ‘angkuh’ dan ‘bongkak’ seperti ditunjukkan Anwar boleh memakan diri sendiri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen.
Menurut laporan dipetik sebuah portal berita, Bersih berpendapat penggunaan jentera kerajaan untuk aktiviti kempen munasabah atas pertimbangan pragmatik dan keselamatan jika ia berlaku selepas perjalanan tugas kerajaan.
“Namun, PM dan menteri-menteri wajib mengelakkan daripada mencampuradukkan tugasan kerajaan dan aktiviti kempen,” katanya.
Menurut laporan itu lagi, bagi perjalanan tambahan untuk berkempen selepas tugasan kerajaan, Perdana Menteri dan menteri perlu membayar secara “pro-rata kos berlebihan” seperti kos minyak helikopter atau kenderaan.
“Demi prinsip amanah, kos-kos ini hendaklah diisytiharkan secara terbuka untuk pemantauan orang awam.
“Reformasi yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan perlu dilaksanakan tanpa mungkir, dan tidak sekadar menanam tebu di bibir sebagai janji pilihan raya,” kata Bersih.
Anwar menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW139 semasa melawat penempatan Felda Teloi Timur kelmarin.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengkritik tindakan Anwar dengan berkata “Perdana Menteri itu sepatutnya boleh menggunakan kenderaan darat lain”.
Dalam reaksi balas terhadap kritikan Muhammad Sanusi, Anwar menegaskan dia berhak menggunakan kemudahan tersebut di atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri.
“Saya naik heli ke Jeneri mereka marah, kenapa naik heli? Sekarang ini heli kerajaan, yang hang nak sakit hati kenapa?
“Kerajaan punya, bukan aku punya. Hang tak boleh pakai, Perdana Menteri boleh pakai,” katanya ketika berucap pada majlis Segalanya Felda di Felda Teloi Timur, semalam.
Felda Teloi Timur terletak dalam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang diwakili oleh penyandangnya Muhammad Sanusi.
Selain Anwar, sebuah lagi helikopter polis dilaporkan membawa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail turut mendarat di lokasi yang sama.
Sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri kira-kira lapan bulan lalu Anwar menolak untuk menggunakan kereta Mercedes S600 kerana tidak mahu perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.
Malah Anwar turut mengingatkan anggota kabinetnya tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi, sebaliknya ia perlu diutamakan bagi mengatasi lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat.
Sementara itu, Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata tindakan Anwar bercanggah dengan kenyataan sebelum ini untuk tidak menggunakkan jentera kerajaan bagi tujuan berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN).
“Tetapi, lihat apa yang telah diguna oleh Perdana Menteri bila berkempen di DUN Jeneri di Kedah. Perdana Menteri terang-terangan menggunakan helikopter milik kerajaan.
“Bahkan apabila ditimbulkan isu ini, Perdana Menteri kata ‘ikut suka aku apa hang sakit hati’. Hebat. Bukan masalah sakit hati, masalahnya helikopter itu milik kerajaan (dan) kerajaan ini milik rakyat,” kata Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari dalam satu rakaman video di Facebook.
“Ini lah kerajaan sembang kosong, kerajaan yang hanya bercakap semata-mata, tetapi tidak melaksanakan apa yang mereka sebut. Buang kerajaan ini seberapa segera yang mungkin,” katanya.
0 Comments