PASIR PUTEH - Reaksi balas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu pembangunan di Kelantan bagai terang lagi bersuluh kerajaan pusat selama ini telah menganaktirikan negeri itu terutamanya dalam soal pembangunan.
Ahmad Zahid menyalahkan Annuar Musa memandangkan bekas Setiausaha Agung UMNO itu sendiri pernah menjawat jawatan sebagai menteri dalam kerajaan persekutuan sebelum ini.
“Dia pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, dia harus mengakui kesalahannya tidak majukan Kelantan,” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat Perumahan Nelayan di Tok Bali, di sini semalam.
Ahmad Zahid dan Annuar adalah rakan kebinet semasa sama-sama dalam kerajaan pusat sebelum UMNO ditolak secara total pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Reaksi Ahmad Zahid itu jelas menunjukkan kerajaan pusat khususnya di bawah pentadbiran UMNO dulu tidak berniat untuk memajukan Kelantan walau ia melibatkan tanggungjawab pusat.
Namun, sebaliknya UMNO menjadikan Kelantan tidak maju di bawah pemerintahan PAS sejak 33 tahun sebagai modal politik mereka untuk menyerang negeri ini terutamanya pada musim pilihan raya.
Kelmarin Annuar mendakwa Kelantan tidak maju adalah 80 peratus disebabkan oleh kesalahan kerajaan persekutuan.
Jelas Annuar, negara ini mengamalkan dasar federalisme di mana perlembagaan telah menetapkan antara tanggungjawab pusat, negeri dan tanggungjawab bersama iaitu pusat dan negeri.
“Kalau kata Kelantan ini tidak maju, kena tanya tidak maju dari segi apa dan tanggungjawab siapa. Kelantan tidak maju adalah disebabkan 80 peratus dosa dan kesalahan kerajaan pusat kerana tak bawa pembangunan ke negeri ini,” katanya.
Dalam pengakuan secara terbuka, Annuar berkata sejarah tidak boleh ditutup kerana dia juga pernah melalui realiti itu semasa berada dalam kerajaan pusat.
"Mereka tidak boleh tutup. Termasuklah saya, kerana saya juga duduk dalam (kerajaan pusat) dulu sebab itu saya boleh beritahu,” tambahnya.
0 Comments