Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) menyeru rakyat menghukum kerajaan kakistokrasi menerusi undi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2 Ogos ini.
Ketua Penerangannya, Ahmad Syakir Norazli, berkata tatakelola kerajaan sekarang jelas bertentangan dengan visi dan misi untuk mengangkat agenda reformasi seperti mana dilaung-laungkan sebelum ini.
“Inilah tatakelola kerajaan yang kononnya mahu mengangkat agenda reformasi tapi sudahnya mereka hanya menjadi lebih teruk dari kerajaan yang mereka maki sebelum ini.
“Sungguh sedih mengenangkan beberapa asatizah tidak lama dahulu yang asalnya mempunyai tauliah mengajar, itupun ditarik dan dihalang mengajar di masjid-masjid hanya kerana penglibatan mereka dalam politik,” katanya menerusi hantaran muka buku Geng Ustaz Cintakan Ulama.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa keping gambar Fahmi dengan dakwaan beliau berucap mengenai isu politik di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Selangor.
Fahmi bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan berkata beliau dijemput oleh ahli jawatankuasa masjid berkenaan untuk menjelaskan mengenai punca pengharaman kumpulan muzik The 1975 dan pembatalan konsert Good Vibes Festival.
Sementara itu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan masih menjalankan siasatan terhadap Fahmi walaupun polis mengumumkan Ketua Komunikasi PKR itu tidak melakukan sebarang kesalahan.
Siasatan dibuat mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.
Menurut Jais sesiapa yang didapati menggunakan masjid untuk berpolitik disifatkan telah menghina, mengingkari dan melanggar titah Sultan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Mengikut peraturan semasa, hanya individu yang diberi tauliah dibenar menyampaikan ucapan, syarahan, khutbah atau pengajaran di masjid dan surau.
0 Comments