Kelantan perkukuh ekosistem sukan, fokus prestasi atlet ke SUKMA 2026


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 25 Mac – Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh agenda pembangunan sukan secara komprehensif melalui perancangan tersusun dan tadbir urus berkesan, dengan fokus utama melonjakkan prestasi atlet menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Mohamad menegaskan, pendekatan strategik itu menjadi tunjang bagi memastikan pembangunan sukan negeri dilaksanakan secara mampan, terarah dan berimpak tinggi.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial pada Rabu susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Kelantan Kali Ke-110 Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Kelantan di Telipot.


Menurutnya, mesyuarat berkenaan memfokuskan kepada penyelarasan hala tuju serta pelaksanaan program pembangunan sukan negeri bagi tahun semasa, termasuk usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem sukan.

“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, selain memperkasa pembangunan atlet dan meningkatkan kualiti kejurulatihan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan antara keutamaan ialah merangka program berimpak tinggi yang mampu melonjakkan prestasi atlet Kelantan agar lebih kompetitif di peringkat lebih tinggi.

Katanya, kejayaan agenda pembangunan sukan negeri memerlukan komitmen berterusan semua pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan sukan dan pemegang taruh.

“Kerjasama padu semua pihak akan menjadi pemangkin kepada kejayaan serta kecemerlangan sukan Kelantan pada masa hadapan,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments