Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
GUA MUSANG, 30 Julai – Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan pantun 2 kerat ‘ada cacing dalam kopi, undi dacing dapat DAP’ yang dilontarkan mantan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Dato’ Seri Panglima Annuar Musa adalah sebagai satu manifestasi rakyat kepada penolakan pentadbiran Kerajaan Malaysia Madani ketika ini.
Katanya, pantun tersebut memberikan penjelasan yang ringkas kepada masyarakat terutamanya di Kelantan bagi memahami sekiranya mereka mengundi parti Barisan Nasional adalah sama seperti memilih Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Sebab itu saya setuju dengan pantun dua kerat Tan Sri Annuar Musa iaitu, ‘ada cacing dalam kopi, pangkah dacing dapat DAP’.
“Pantun ini kita kena sebarkan kepada semua rakyat. Sebab saya percaya ramai orang UMNO tidak suka DAP.
“Dan orang UMNO sendiri tidak suka akan kenaikan harga minyak ketika ini. Apabila harga minyak mahal, harga barang pun turut mahal,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, di Pusat Tarbiah PAS Renok semalam.
Jelasnya, rakyat Kelantan boleh menilai bagaimana masyarakat di Sungai Bakap, Pulau Pinang yang ditadbir oleh parti DAP memilih PN dengan jumlah majoriti yang lebih tinggi berbanding Pilihan Raya Negeri yang lalu.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan rakyat Kelantan tidak akan mudah terpengaruh dengan modal kempen yang digunakan oleh Pemuda BN iaitu ingin menguatkan suara pembangkang di Dewan Negeri Kelantan sekiranya parti tersebut menang dalam PRK di Nenggiri.
“Kalau kita menangkan BN bermaksud kita setuju DAP menguasai negara kita.
“Maksudnya, kita setuju dengan isu-isu yang terjadi dalam negara kita ketika ini,” ujarnya.
0 Comments