KOTA BHARU: Cadangan pemimpin DAP untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri Melaka melalui pengisytiharan darurat menggambarkan kebimbangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap sokongan rakyat yang semakin merosot.
Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, cadangan yang dibangkitkan DAP itu dilihat lebih bersifat kepentingan politik berbanding keperluan mendesak negara.
Menurutnya, jika benar terdapat usaha untuk menangguhkan pilihan raya negeri, ia dilihat sebagai langkah bagi menyelamatkan kedudukan kerajaan sedia ada.
“Saya tengok dari sudut politik, ini menunjukkan kebimbangan terhadap peluang kerajaan termasuk DAP untuk menang,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri PAS Pengkalan Chepa, yang di Purnama semalam.
Baru-baru ini seorang ahli parlimen DAP Melaka mencadang kerajaan negeri memohon pengisytiharan darurat bagi menangguh PRN memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu disebabkan pwrang di Asia Barat. Kenyataan itu turut disokong Pemuda PKR.
Mohd Amar berkata, cadangan darurat bagi menangguhkan PRU bukan berpunca daripada masalah negara yang mendesak, sebaliknya lebih kepada strategi politik.“Jadi untuk menyelamatkan kerajaan, baik diisytiharkan darurat dan tangguh pilihan raya. Saya lihat ini lebih kepada kepentingan politik, bukan kerana masalah negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan isu kenaikan harga minyak dan tekanan kos sara hidup tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan proses demokrasi.
Katanya, kerajaan Persekutuan masih mempunyai keupayaan untuk mengadakan pilihan raya seperti biasa tanpa sebarang halangan besar.
Beliau juga berkata, rakyat kini semakin tidak berpuas hati terhadap kepimpinan kerajaan, khususnya melibatkan isu harga minyak dan barangan keperluan harian.
Menurutnya, keadaan tersebut meletakkan kerajaan berdepan risiko tinggi sekiranya Dun atau Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan cadangan penangguhan pilihan raya sebagai petunjuk jelas kebimbangan pihak tertentu terhadap sokongan rakyat yang semakin berkurangan.


0 Comments