Oleh: Saliemin Khesa Ahmad
GUA MUSANG, 27 Julai - Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Pusat Integrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA) bercadang untuk menjadikan Pos Pulat serta masyarakat setempatnya sebagai kampung angkat dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hassan berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat hal ehwal semua kaum di Kelantan tanpa mengira bangsa ataupun fahaman parti politik.
"Kalau kita tengok, kebanyakan wakil rakyat dan juga pemimpin di Kelantan ini terdiri daripada pelbagai kaum. Ada yang daripada masyarakat Cina, India dan Siam.
"Perkara ini jelas bahawa kita memang berlaku adil kepada seluruh masyarakat terutamanya di Kelantan.
"Jadi, apabila saya mengadakan perbincangan bersama Pengerusi PEKA, beliau sangat bersetuju untuk mengambil Pos Pulat ini sebagai kampung angkat.
"Hal ini kerana ia akan lebih memudahkan Kerajaan Negeri menyalurkan segala bentuk bantuan dan juga aktiviti-aktiviti yang berkaitan dapat dijalankan bersama masyarakat orang asli di sini," katanya pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat Bersama Masyarakat Orang Asli Pos Pulat, hari ini.
Tambahnya, cadangan tersebut juga membolehkan Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius berkenaan keperluan atau bantuan yang sesuai diagihkan kepada masyarakat orang asli Pos Pulat ini selaras dengan dasar yang dibawa iaitu Membangun Bersama Islam.
Jelas Ahli Dewan Negeri (ADN) Temangan itu, walaupun Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah ada, namun ia masih menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan seluruh rakyat terutamanya di Kelantan.
"Malah kita juga akan bekerjasama dengan pihak JAKOA Kelantan mengenai keperluan penduduk di sini.
"Pada masa sama, PEKA inilah yang akan menjadi medan utama dalam menyampaikan masalah atau isu berkaitan yang perlu kita selesaikan dalam hal-hal melibatkan hubungan antara kaum di Kelantan," katanya.
Untuk rekod, Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat anjuran UPKN dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk acara sukaneka, jamuan rakyat serta penyampaian bantuan berupa barangan keperluan yang melibatkan seramai hampir 300 orang penduduk Pos Pulat.
Majlis tersebut juga telah berlangsung selama dua hari bermula 27 hingga 28 Julai ini.
0 Comments