Oleh: Norzana Razaly
GUA MUSANG, 15 Julai – Selepas fenomema Train to Dabong,
kereta api Eastern & Oriental Express dari Singapura ke Merapoh pula bakal
merancakkan industri pelancongan Gua Musang.
Kembara Wild Malaysia Journey tersebut bermula di Stesen
Kereta api Woodlands - Gemas - Merapoh - Gemas - Butterworth - Woodlands.
Sehubungan itu, Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud
berkata, pihaknya sedang berunding dengan pihak Tourism Singapura agar
melanjutkan perjalanan gerabak mewah tersebut ke Gua Musang yang hanya 15 minit
perjalanan dari Merapoh.
“Bagi menjayakan lagi Tahun Melawat Kelantan 2024, kita akan bermesyuarat pada 23 Julai depan dengan pihak Tourism Singapura dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi mengadakan kerjasama membawa 40 pelancong yang mengikuti ekspedisi Wild Malaysia (Taman Negara Sungai Relau) dengan Eastern & Oriental Express ke Gua Musang.
“Pelancong tersebut akan berada tiga jam di Gua Musang untuk
mengikuti peta pelancongan ke 11 destinasi di Gua Musang bermula di Muse
Ekopark yang dilengkapi komponen Masjid Buloh, Masjid Tengku Razaleigh dan
stesen kereta api lama. Kemudian ke Gua Neon Taman Etnobotani (taman herba),
Gua Neon Chiku 2, Taman Negara Kuala Koh dan Taman Tasik Gua Musang.
“Para pelancong juga akan dibawa ke Masjid Long Tan, Eco
R&R Lojing Highlands, Taman Konservasi Rafflesia dan Tokong Mek Swee Nyet
Keung di Kampung Pulai,” jelasnya ketika ditemui di Pejabat Tanah dan Jajahan
Gua Musang pada Ahad.
Beliau juga memaklumkan pihaknya sedang merancang menyiapkan denai dari Taman Wangi ke persimpangan Kesedar Inn merentasi Sungai Ketil sejauh tiga kilometer.
“Dana telah pun diluluskan melalui Ecological Fiscal
Transfers (EFT) sebanyak RM2 juta oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menyumbangkan
RM500 ribu bagi menjalankan kerja-kerja pengukuhan tebing sungai.
“Pengunjung tempatan dan luar negara boleh terus ke Gua Madu
di Kampung Batu Papan yang sedang dinaik taraf. Lokasi ini hanya 1.5 kilometer
dari Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang,” katanya.
0 Comments