Oleh: Che Maziah Mat
GUA MUSANG, 16 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan
keprihatinan, kebajikan dengan keperluan masyarakat orang asli menerusi
pengagihan elaun kepada seramai 105 ketua masyarakat orang asli.
Menteri Besar, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd
Nassuruddin Daud berkata, sumbangan yang diberikan ini sebagai tanda menghargai
bakti mereka yang memainkan peranan dalam menjadi penghubung di antara
masyarakat orang asli dengan kerajaan.
“Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kebajikan dan berlaku adil
kepada semua rakyat kerana semua orang adalah sama dan kita adalah bersaudara,
sebab itulah kita melantik penghulu dan pemimpin dari kalangan masyarakat orang
asli.
“Kita bagi mereka elaun untuk memastikan agar kebajikan masyarakat orang asli ini terjaga, malah hubungan dua hala dengan Kerajaan Negeri juga berterusan pada masa sama menjadi penghubung dengan kerajaan,” katanya pada Majlis Pengagihan Elaun Ketua Masyarakat Orang Asli di Masjid Mukim Meranto, Gua Musang pada Jumaat baru-baru ini.
Sepertimana rutin hari Jumaat, Dato’ Nassuruddin turut
menyampaikan khutbah Jumaat dan beramah mesra dengan jemaah dan ahli qariah di
situ.
Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa menitikberatkan kebajikan
masyarakat orang asli dan berharap usaha ini dapat membantu mereka menjalani
kehidupan dengan lebih baik.
📷UKMB
0 Comments