Ticker

6/recent/ticker-posts

Limau Kasturi jadi pusat media PN

GUA MUSANG: Menjelang penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri Sabtu ini, jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) membuat persiapan terakhir termasuk menyediakan ruang khas untuk diadakan sidang media. 

Lokasi sidang PN akan diadakan di Markas Tarbiah PAS Limau Kasturi yang kini dijadikan Bilik Operasi Induk Penerangan PRK Nenggiri.

Persiapan lokasi sidang media PN sedang rancak dilakukan oleh petugas hari ini termasuk memasang lampu dan menyediakan kerusi untuk kemudahan wartawan yang akan membuat liputan. 

Lokasi tersebut terletak kira-kira 20 km dari simpang jalan utama Kuala Krai-Gua Musang. Kedudukannya   terletak di tengah-tengah antara Jeram Tekoh, Sungai Asap dan Bertam serta Jerek. 

DUN Nenggiri akan menjadi tumpuan petugas media dari seluruh negara memandangkan menteri dan pemimpin utama parti politik turun padang membantu kempen parti-parti yang bertanding. 

DUN Nenggiri terdapat 20 Unit Daerah Mengundi (UDM) di mana lima daripadanya menempatkan pengundi masyarakat Orang Asli. Paling jauh penempatan Orang Asli di Simpor, Sungai Puian dan Sungai Jenera yang bersempadan dengan Perak. 

Setiausaha PAS Cawangan Limau Kasturi 2 Khairul Azam berkata, operasi markas dan pos pilihan raya PAS akan dibuka secara rasmi selepas hari penamaan calon. 

Katanya pos pilihan raya PAS di kebanyakan UDM sedang dalam persiapan terakhir sebelum dibuka secara rasmi. 

"Ada cawangan PAS sudah memasang bendera parti termasuk Bilik Operasi Pemuda Cawangan Limau Kasturi," katanya ketika ditemui di sini.

Post a Comment

0 Comments