Ticker

6/recent/ticker-posts

PELABUHAN TUKUN TIRUAN BERI MANFAAT LEBIH 6000 NELAYAN

 


Oleh: Maziah Mat

PASIR PUTEH, 22 Julai - Aktiviti melabuh tukun tiruan pelbagai jenis di perairan Tok Bali akan memberi manfaat kepada 6430 nelayan dengan bilangan bot sebanyak 772 buah. Demikian menurut Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Katanya sehingga tahun 2024, sebanyak 300 buah tukun pelbagai jenis telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM5.86 juta sejak tahun 2007. 

“Hari ini sebanyak 12 tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Tok Bali yang akan menjadi pusat konservasi dan juga tempat pembiakan ikan dan Insya-Allah diharap akan menambahkan lagi hasil tangkapan nelayan.


“Saya mengharapkan projek ini akan terus berkembang dari tahun ke tahun kerana pada tahun ini kita telah mendapat peruntukan yang agak besar di ketiga-tiga tempat untuk dilabuhkan tukun tiruan sebagai pusat pembiakan ikan,” katanya pada Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan Jabatan Perikanan Malaysia Bagi Tahun 2024 di Kompleks Pelabuhan Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali pada Ahad.

Sementara itu, peruntukan yang disalurkan Kerajaan Pusat pada tahun ini adalah paling besar iaitu sebanyak RM2.2 juta bagi tujuan melabuhkan 70 tukun konservasi meliputi Pantai Tok Bali, Pantai Irama dan di Kuala Besar.  

“Semoga dengan inisiatif pelaburan jangka masa panjang ini dapat mengawal hakisan selain dapat mengekang aktiviti pukat tunda di kawasan pesisir pantai.


“Usaha ini dilakukan bagi melestarikan alam sekitar khususnya kepada hidupan laut yang menjadi sumber makanan dan bagi menjamin sekuriti makanan negara dapat dikekalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Dr Erniyta Osman turut menjelaskan bahawa Tok Bali dan Kuala Besar akan dibangunkan sebagai kompleks tukun tiruan dalam tempoh 10 tahun akan datang bagi meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan pesisir pantai.



Post a Comment

0 Comments