Terajui Melaka melalui semangat Muafakat Nasional

 
AYER KEROH: PAS dan Perikatan Nasional (PN) melalui wadah Muafakat Nasional perlu tampil sebagai satu pasukan yang benar-benar bersedia untuk menerajui kerajaan negeri Melaka.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakan-rakan dalam Muafakat Nasional mempunyai potensi untuk membawa Melaka ke hadapan dalam bentuk baharu kerjasama.

Katanya, kesiapsiagaan itu perlu diterjemahkan melalui penampilan calon-calon yang berwibawa, berintegriti dan mempunyai kemampuan untuk bergerak sebagai satu pasukan bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Rakyat tidak lagi hanya melihat kepada retorik, laungan slogan atau ucapan politik, sebaliknya menunggu penyelesaian sebenar terhadap masalah yang mereka hadapi.

“Rakyat menunggu penyelesaian, resolution of the problem,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Amal PAS Negeri Melaka di sebuah hotel di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Pesuruhjaya PAS Melaka Tuan Guru Zulkifli Ismail; Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed dan pimpinan PAS Melaka.  

Dr Ahmad Samsuri berkata, PAS dan PN juga perlu menghantar mesej yang jelas perjuangan mereka bukan untuk satu kelompok masyarakat sahaja, sebaliknya untuk seluruh rakyat Melaka.

Kata beliau Melaka mempunyai kekuatan dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, perkhidmatan, perindustrian, pembuatan, pendidikan serta kedudukan geografi yang strategik.

“Terdapat ruang yang luas untuk Melaka dibawa ke hadapan melalui satu bentuk kerjasama politik baharu yang mampu menawarkan pentadbiran lebih baik kepada rakyat.

“PAS dan PN mempunyai iltizam untuk terus berusaha mengurus tadbir Melaka dengan mengambil kira kepelbagaian masyarakat serta memastikan kepentingan semua pihak dijaga dengan adil,” ujarnya.

Menurutnya, matlamat tersebut bagi memastikan Melaka dapat menjadi contoh sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang membantu perjuangan PAS di Melaka sama ada dalam bentuk wang, masa, tenaga mahupun doa dalam usaha memperkukuhkan gerak kerja parti.

Kata beliau juga dalam tempoh kira-kira 60 hari sekiranya Pilihan Raya Negeri Melaka berlangsung perlu dilihat sebagai tempoh yang sangat berharga.

 

 

Post a Comment

0 Comments