Jelajah KALA 2026 ketengah produk 64 usahawan

 

Oleh Tuan Arjuna Beta |

TUMPAT: Penduduk Tumpat berpeluang mengikuti Jelajah KALA 2026 sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-69 bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan.

Program itu diadakan bermula 27 hingga 29 Ogos ini di Pantai Sri Tujoh, mengetengahkan keunikan budaya dan kehidupan masyarakat pesisir dan platform usahawan serta merancakkan ekonomi setempat.

Jelajah KALA 2026 mengangkat tema ‘Warisan Perkampungan Nelayan’ dianjur Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dengan kerjasama Koperasi Warisan Kampung Laut Berhad menyasar kehadiran 15,000 pengunjung.

Sebanyak 64 usahawan tempatan dan pelbagai agensi kerajaan akan mengambil bahagian, menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada pengunjung bermula jam 8.30 pagi sehingga tengah malam.

Antara pengisian menarik jualan usahawan, pameran warisan nelayan, bengkel keusahawanan TikTok dan kecerdasan buatan (AI), program keagamaan, sukan rakyat, pertandingan keluarga, Fun Walk Warisan, Konvoi Merdeka serta persembahan kesenian dan kebudayaan.

Pengunjung berpeluang mengenali dengan lebih dekat produk warisan tempatan seperti ikan bekok, serondeng dan gelembung buaya.

Selain itu menikmati pelbagai produk keluaran usahawan tempatan dalam suasana santai berlatarbelakangkan keindahan Pantai Sri Tujoh.

Pantai Sri Tujoh sinonim dengan komuniti nelayan dan memberi peluang pengunjung menghayati sendiri kehidupan serta warisan masyarakat pesisir Tumpat.

Program keagamaan membolehkan penduduk tempatan menimba ilmu agama disampaikan pendakwah terkenal, Ustaz Mokhtar Yaakob dan Ustaz Dusuki Rani.

Manakala persembahan kesenian menampilkan kebudayaan masyarakat Siam, India, Cina dan Melayu yang menjadi identiti jajahan berkenaan, antaranya persembahan gedombak Siam dan dikir barat.

Oleh itu PKINK mempelawa orang ramai memeriahkan Jelajah KALA 2026 di Pantai Sri Tujoh bagi menyokong usahawan-usahawan tempatan, di samping menghayati keunikan warisan masyarakat nelayan.











Post a Comment

0 Comments