GUA MUSANG: Perikatan Nasional (PN) menawarkan calon terbaik kepada penduduk di DUN Nenggiri memandangkan beliau merupakan rakyat tempatan.
Pengarah Operasi PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebelum ini satu senarai panjang diteliti dan ditapis PN dalam kalangan penduduk tempatan untuk diangkat sebagai calon.
Menurutnya, calon PN Mohd Razwadi Ismail, 41, diteliti merentasi keahlian parti kerana yang penting 'sosok' tubuh tersebut diterima pengundi di Nenggiri kerana penduduk tidak mahu tertipu lagi.
Katanya, PN memperaga politik matang serta pragmatis yang penuh strategi demi untuk berkhidmat kepada pengundi tanpa mengira parti.
"Lebih membanggakan, Ustaz Wadi tidak pernah melobi. Beliau juga tidak pernah terbabit dengan projek kerajaan sebaliknya berpengalaman lebih 10 tahun berkhidmat sebagai perajurit.
"Beliau juga pernah melalui latihan dan disiplin ketenteraan serta bergiat dalam bidang dakwah dan keagamaan," katanya pada catatan di laman sosialnya.
Tambahnya, Ustaz Wadi sentiasa berada bersama masyarakat di Nenggiri dan sudah lama dikenali ramai penduduk tempatan.
"Ia menjadi kriteria penting dalam perjuangan seorang pemimpin sebagai mewakili suara rakyat di Nenggiri.
"Beliau watak sebagai seorang pejuang yang wajar diambil manfaat penduduk kerana Ustaz Wadi orang yang istiqamah memikul amanah serta tidak mengejar materialistik.
"Tawaran PN untuk rakyat Nenggiri begitu bernilai harganya untuk diambil peluang oleh mereka pada 17 Ogos ini," ujarnya.
0 Comments