Ticker

6/recent/ticker-posts

BANJIR KILAT, PENDUDUK TERJEJAS DAPAT PERHATIAN YB LIMBONGAN

Oleh: Asyura Muhamad

PASIR PUTEH, 22 Ogos – Sepuluh buah rumah di Kampung Permatang Sungkai telah dilanda banjir kilat dan lima buah daripadanya telah dinaiki air serta mengalami kerosakan harta benda susulan hujan lebat yang berlaku pada petang Ahad lalu.

Hal itu telah mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan YB Nor Asilah Mohamed Zin dan beliau bersama wakil pihak ECRL dan beberapa anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh serta anggota Jabatan Pengairan dan Saliran Jajahan Pasir Puteh turun meninjau ke kawasan yang terjejas, pada Rabu.

“Kejadian banjir kilat ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat kerana air naik secara mendadak selepas hujan lebat selama dua jam.

Tindakan segera akan diambil untuk mengenal pasti punca banjir dan merangka pelan penyelesaian jangka pendek serta panjang,” katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Selain itu katanya, wakil pihak ECRL dan jabatan-jabatan berkaitan juga akan mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari penyelesaian terbaik bagi masalah tersebut. Tindakan seperti pembaikan sistem perparitan dan saliran akan dikaji bagi memastikan kejadian banjir kilat tidak berulang pada masa akan datang. 

Jelasnya lagi, langkah segera telah dibuat pada petang semalam dengan melakukan kerja-kerja menggali parit bagi mengalir keluar air banjir dan mengelak berlakunya banjir termenung di kawasan tersebut.




Post a Comment

0 Comments