Ticker

6/recent/ticker-posts

STL: KELANTAN WARRIORS SASAR LAYAK KE LIGA PRIMIER


Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 22 Ogos- Pasukan sepak takraw Kelantan Warriors meletakkan sasaran untuk layak ke saingan liga primier Sepak Takraw League (STL) pada tahun ini. 

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad berkata, untuk mencapai sasaran tersebut pasukan Kelantan Warriors mesti mengisi slot perlawanan akhir liga divisyen satu tahun ini. 

"Pada tahun ini, pasukan Kelantan Warriors akan bersaing dalam liga divisyen satu bersama sembilan pasukan lain bagi merebut dua slot perlawanan akhir. Dua pasukan yang berjaya ke perlawanan akhir akan layak secara automatik untuk bersaing dalam liga primier yang akan diadakan pada tahun ini juga".

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Memperkenalkan Pemain dan Penaja Pasukan Kelantan Warriors bagi saingan STL 2024 di sebuah restoran di Kota Bharu semalam.


Saingan bagi divisyen satu STL pada tahun ini akan berlangsung dari 26 hingga 30 Ogos di dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). 

Tambah YB Zamakhshari lagi, pasukan Kelantan Warriors akan tampil dengan kekuatan dan kemampuan yang tersendiri untuk menghadapi cabaran dan saingan daripada sembilan pasukan yang lain. 

"Untuk menghadapi cabaran daripada pasukan lain, pemilihan pemain oleh pihak pengurusan telah dilakukan dengan teliti. Ia mengambil kira bedah siasat dan prestasi pasukan pada tahun lepas serta kejohanan yang dilalui termasuk kejohanan sepak takraw terbuka Kelantan 2024 yang lepas. 

"Dengan masa yang terbatas, kita dapat daftarkan pemain yang terbaik dan berpengalaman untuk bermain dengan pasukan Kelantan Warriors pada tahun ini. 

"Gabungan pemain yang berpengalaman dan baharu dalam pasukan kali ini diharap akan dapat menampilkan permainan yang berkualiti untuk dipertontonkan kepada penyokong," ujarnya. 

Pemain yang akan menyarung jersi Kelantan Warriors pada tahun ini ialah Muhammad Fakhrul Akmal Mohd Nakon, Siwakorn Thanaka dan Muhammad Amirul Amir Mohd Alwi sebagai tekong. Mohd Haikal Mohamad Jamil dan Rusdee Leerem sebagai apit kanan serta Muhamad Adli Abu Bakar dan Ahmad Badrie Amin Azmi sebagai apit kiri. 

Menurut YB Zamakhshari lagi, pihak GASTAK telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak untuk menaja pasukan ini.


"Pada tahun ini pasukan Kelantan Warriors mendapat tajaan daripada Azkia Group, Secure Pay, Hirex Rinting Service, Naskeen Coffee dan Farmasi Amal Medik. Selain itu ada juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan negeri turut sama menyalurkan sumbangan. Terima kasih diucapkan, semoga pasukan Kelantan Warriors akan bersaing dengan penuh semangat dan mencapai sasaran layak ke liga primier pada kali ini," katanya. 

Hadir sama Presiden GASTAK, YB Abdul Fattah Mahmood, Ahli Majlis GASTAK, YB Ustaz Azhar Salleh, Naib Presiden GASTAK, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan dan barisan jurulatih serta pemain.

Post a Comment

0 Comments