GUA MUSANG: Di sebalik dakwaan pengundi Orang Asli sebagai deposit tetap Umno tersimpan banyak cerita di sebaliknya.
NGO dan petugas pilihan raya Perikatan Nasional (PN) yang berkampung penempatan Orang Asli menemui ramai kakitangan pelbagai agensi kerajaan Pusat yang mengawal penempatan tersebut.
Penghulu Orang Asli Dun Galas Jumat Abak berkata, petugas kempen Umno dan kakitangan kerajaan mengangkut lebih awal pengundi Orang Asli ke pusat pengundian ketika suasana masih gelap.
Jumat Abak |
Katanya penduduk Orang Asli dikawal sepenuhnya oleh mereka, di mana sebelum hari mengundi rumah penduduk tempatan diketuk pintu pada jam 3 pagi.
“Saya dimaklumkan penduduk Orang Asli diberi sesuatu ketika ejen politik parti kerajaan pusat datang ke rumah penduduk pada tengah malam.
“Dan pada hari mengundi banyak kenderaan pacuan empat roda sudah menunggu di kawasan rumah penduduk untuk memunggah mereka ke tempat mengundi,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya juga ketika sukarelawan NGO datang untuk membantu mengangkut pengundi Orang Asli ke tempat pengundian selepas solat Subuh, penduduk tempatan sudah dibawa ke tempat pengundian.
Kata beliau juga ada penduduk Orang Asli yang belum mengundi melarikan diri ketika didekati NGO dan petugas kempen PN bagi membawa ke tempat mengundi.
Seorang lagi petugas NGO yang berada di penempatan Orang Asli berkata, pihaknya bertembung dengan banyak agensi kerajaan di penempatan Orang Asli di pedalaman Dun Nenggiri.
Katanya, NGO dan petugas kempen dari PN mahu membantu membawa keluar penduduk Orang Asli mengundi.
“Namun pelbagai agensi kerajaan yang dikerah ke penepatan Orang Asli sudah berada di jalan ketika malam lagi untuk membawa pengundi Orang Asli.
“Kami keluar selepas solat Subuh bagi membawa Orang Asli mengundi, namun ketika di lokasi sudah tidak ada penduduk terbabit kerana dibawa lebih awal agensi kerajaan,” ujarnya.
Penyelia Dun Galas Tarmizi Abdul Rahman berkata, penduduk Orang Asli begitu teruja dengan kedatangan pemimpin Umno ke penempatan mereka menggunakan helikopter.
Katanya, situasi itu dapat dilihat apabila penduduk tempatan mengambil gambar helikopter yang diparkir di padang berhampiran rumah mereka.
“Saya dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berulang alik ke penempatan Orang Asli menggunakan helikopter,” katanya.
Pengerusi Majlis Tindakan Dun Nenggiri Mohd Saupi Abdul Razak pula memberitahu pada petang Jumaat lepas beliau bertembung dengan Presiden Umno yang datang ke Pos Pulat.
Menurutnya juga Pos Pulat merupakan kubu Umno di Dun Nenggiri sejak dahulu lagi.
Sementara itu Adun Guchil Hilmi Abdullah berkata, beliau dan rombongan bertolak ke Pos Gob pada pagi Jumaat lepas.
Kata beliau perjalanan selama 20 jam bermula jam 8.30 pagi dan tiba ke Pos Gob jam 3.30 pagi.
0 Comments