Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 8 Ogos - Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyeru seluruh rakyat Kelantan mendoakan kejayaan kontinjen Kelantan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang bakal berlangsung di Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos.
Beliau turut berpesan kepada para atlet agar mengharumkan nama negeri dengan melakukan yang terbaik, jangan berputus asa dan memperbanyakkan doa semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Negeri Kontinjen Kelantan ke SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Utama Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa pada Selasa.
Penyerahan Bendera Negeri Kelantan itu diterima oleh Ketua Kontinjen SUKMA Kelantan 2024 YB Zamakhshari Muhamad, disaksikan Timbalan Ketua Kontinjen YB Bahari Mohamad Nor.
Dato’ Mohd Nassuruddin juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua atlet dan pegawai yang terpilih mewakili Negeri Kelantan.
“Semoga semangat juang dan disiplin yang tinggi menjadi bekalan dalam membawa nama Kelantan di persada sukan kebangsaan. Insya Allah dengan keupayaan dan semangat para atlet kita, pasti mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya.
Kelantan akan menyertai 31 jenis sukan daripada 38 sukan keseluruhan dengan kekuatan kontinjen seramai 510 orang terdiri daripada pengurus dan atlet.
0 Comments