Ticker

6/recent/ticker-posts

Isu sogokan didedah petisyen pilihan raya Nenggiri

KOTA BHARU: Calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail tewas kepada pasukan Kerajaan Persekutuan yang sanggup membelanjakan jutaan ringgit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri Sabtu lepas.

Bekas menteri Tan Sri Annuar Musa berkata, mendakwa beberapa agensi kerajaan Pusat termasuk KESEDAR, JAKOA, FELDA, FELCRA dan RISDA membantu memenangkan BN.

Katanya, BN-Umno menang semula di Nenggiri di mana PAS tidak pernah menang sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.

“Sejak awal kempen lagi dianggar PAS mempunyai kira-kira 5,500 pengundi teras serta 12 Cawangan Bersatu dengan keahlian sekitar 500 orang.

“Manakala Umno pula memiliki kira-kira 7,000 pengundi tegar dengan 54 cawangan Umno. Untuk menang, PN perlu menarik sehingga 2,000 pengundi Umno yang pernah diperolehi pada PRN15.

“Apabila bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi mengalih sokongan menyokong Kerajaan Madani, tidak boleh dinafikan PN kehilangan sejumlah pengundi,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya juga BN menggunakan strategi tanpa DAP dan PH serta memujuk semula lebih 2,000 pengundi putih Umno yang tidak keluar mengundi pada PRU ke-15.

Kata beliau gerakan memujuk pengundi dahulu tidak keluar ternyata berjaya kerana insentif kewangan yang lumayan berjaya menambah ‘turnout’ hampir 3,000 pengundi yang tidak mengundi pada PRU15.

Annuar yang juga Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri mendakwa dana kewangan yang sangat besar dan dibantu agensi kerajaan pusat yang berada di bawah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Sepanjang Julai dan Ogos 2024 lima agensi dianggar membelanjakan berjuta ringgit di Nenggiri untuk pelbagai program kempen BN-Umno.

“Antara yang paling ketara Kesedar membayar RM8,400 kepada setiap peserta Projek Agropolitan Rantau Manis bertempat di Kesedar Sungai Asap semasa kempen,” ujarnya.  

Manakala di lima pos Orang Asli JAKOA dan BN bekerjasama menganjurkan program dan pesta selama 14 hari bagi 'mengepung' pengundi Orang Asli sebagai undi simpanan tetap mereka.

Kata Annuar viral sekurang-kurangnya dua helikopter berulang-alik ke kawasan Orang Asli dengan kos sewaan lebih RM1 juta.

Sedangkan jentera PN menggunakan jalan darat dan menghadapi kesukaran menemui pengundi terutama di UDM Sg Puian yang mengambil masa sehingga 12 jam. 

“Timbul juga unsur ugutan terhadap pengundi Orang Asli. Mereka tidak akan dibantu JAKOA lagi sekiranya mengundi 'bulan'. Ugutan ini didedah NGO Orang Asli.

“Manakala anak-anak muda dan pengundi luar pula khabarnya dibayar RM300 seorang. Ini terbukti ada pengakuan beberapa pengundi melalui posting di media sosial.

“Kini ramai yang mula tampil dengan bukti dan rakaman bagaimana sogokan wang yang begitu banyak berlaku. Isu ini pastinya akan terdedah apabila adanya petisyen pilihanraya di mahkamah nanti,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments