Oleh: Asri Hamat
BUKIT SERINDIT, MELAKA, 31 Ogos - Pasukan sepak takraw Kelantan Warriors muncul juara divisyen satu Sepak Takraw League (STL) 2024 selepas berjaya menewaskan Selangor Pistons di perlawanan akhir yang berlangsung di dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bukit Serindit, Melaka malam tadi.
Kelantan Warrior dibarisi gabungan pemain yang terdiri daripada Purached Yoossen sebagai tekong, Adli Abu Bakar sebagai apit kiri serta Haikal Jamil sebagai apit kanan menundukkan Selangor Pistons dengan keputusan 2-1 (12-15,17-15,15-10).
Kelantan Warriors bermula dengan langkah kiri apabila tewas di set pertama dengan keputusan 12-15, namun bangkit untuk menang di set kedua dengan keputusan 17-15 dan memaksa perlawanan diheret ke set penentuan dengan kemenangan berpihak kepada Kelantan Warriors dengan keputusan 15-10.
Selaku juara, Kelantan Warriors membawa pulang wang tunai RM12 ribu dan piala kejohanan, manakala Selangor Pistons membawa pulang wang tunai RM8000, tempat ketiga Perlis Vipers menerima wang tunai RM5000 dan tuan rumah, Melaka Titans di tempat keempat menerima wang tunai RM2000.
Hadiah kepada juara disampaikan oleh Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), YB Dato' Abdul Fattah Mahmood.
Lebih manis Kelantan Warriors turut menggondol tiga anugerah iaitu pengurusan terbaik, tekong terbaik dan apit kiri terbaik dengan hadiah wang tunai RM5000 bagi setiap anugerah.
Menurut Penolong Pengurus Kelantan Warriors, Mahizi Mahmood, para pemain Kelantan Warriors telah menunjukkan semangat yang tinggi serta tidak mudah mengaku kalah.
"Sebenarnya bukan tugas mudah untuk kita bangkit di set kedua apabila kita kalah dengan Selangor Pistons di set pertama. Namun para pemain kita telah menunjukkan disiplin, semangat juang yang tinggi serta tidak mudah berputus asa. Ini membolehkan kita menang di set kedua dan ketiga seterusnya muncul juara. Kita kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para permain."
"Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah kerana pada tahun ini kita berjaya menjulang kejuaraan divisyen satu STL 2024 dan melayakkan diri ke Liga Ptemier STL 2024. Kemenangan ini adalah hadiah khusus untuk rakyat Kelantan," katanya sejurus selepas tamat perlawanan akhir malam tadi.
Kelantan Warriors dan Selangor Pistons akan beraksi bersama 10 pasukan lagi dalam saingan Liga Ptemier STL 2024 yang akan membuka tirai pada 11 September 2024 di Grand Prix pertama di Selangor.
0 Comments