Oleh: Che Maziah Mat
KOTA BHARU, 31 Ogos - Rakyat di negeri ini diseru agar mewujudkan rasa kecintaan kepada negara yang bebas merdeka dengan menghayati erti kemerdekaan melalui kisah para sahabat Rasulullah S.A.W.
Menteri Besar, Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, setiap rakyat sudah terpikul dengan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan negeri dan negara ini sentiasa dalam keadaan baik dan sejahtera.
“Menghargai kemerdekaan negara adalah suatu tanggungjawab yang perlu ditadbir oleh kita semua dalam mencari redha Allah SWT.
Melalui negara merdeka ini kita tidak lagi terlibat dengan campur tangan kuasa asing, malah melaksanakan pentadbiran yang baik mengikut landasan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Perutusan Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-67 Bagi Tahun 2024 bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Selain itu, jelasnya lagi dalam menyokong urus tadbir rakyat yang merdeka ini beberapa perkata perlu dilaksanakan bersama-sama khususnya dalam sebuah negara dan negeri yang mempunyai masyarakat majmuk.
Antaranya termasuklah bersatu hati membina muafakat dan kerukunan, menyemarakkan semangat patriotik dan menanamkan rasa tanggungjawab dengan menolak anasir yang merosakkan masyarakat.
Sementara itu, di Kelantan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka: Penghayatan Membangun Bersama Islam’ yang mencerminkan keinginan rakyat untuk membentuk sebuah masyarakat yang bukan sekadar bebas secara fizikal malah merdeka juga dari segi jiwa dan pemikiran.
“Kemerdekaan yang sebenar adalah apabila kita mencapai ketamadunan yang berlandaskan ajaran Islam.
Jiwa merdeka adalah jiwa yang teguh dengan nilai-nilai Islam yang menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup serta menjauhi segala bentuk pengaruh yang bertentangan dengan syariat,” jelasnya.
0 Comments