Ticker

6/recent/ticker-posts

KESEDARAN MEMBACA RAKYAT MALAYSIA MENINGKAT-MB


Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 29 Ogos- Kesedaran ke arah minat suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.

YAB Menteri Besar, Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata,  berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dengan ketara.

"Alhamdulillah, hasil kajian mendapati  berlaku peningkatan yang ketara iaitu daripada dua naskhah setahun pada tahun 2005 kepada 15 naskhah setahun pada tahun 2014. Bagi tempoh tahun 2022 sehingga tahun ini pula bilangan naskhah yang telah dibaca oleh rakyat Malaysia terus meningkat kepada 24 naskhah setahun."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Iqra' dan Pesta Buku Darul Naim 2024 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu di Pasaraya Mydin, Tunjong Kota Bharu pada Rabu.

Tambah beliau, melalui pembacaan seseorang itu akan dapat memperkayakan minda, meningkatkan daya pemikiran serta menyuburkan semangat ingin tahu yang mendalam dalam setiap diri individu.

"Jika kita perhatikan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah ayat Iqra' yang bermaksud bacalah. Ini membuktikan bahawa betapa pentingnya amalan membaca dalam kehidupan manusia. Membaca bukan sahaja membuka peluang kepada ilmu tetapi memberi kefahaman yang mendalam tentang kehidupan, agama dan dunia sekeliling kita.

"Oleh yang demikian, saya ingin menekankan bahawa usaha untuk  memupuk minat membaca haruslah bermula dari usia muda lagi bagi mempersiapkan generasi muda sebagai pemimpin di masa hadapan.

"Dengan adanya minat membaca, generasi muda akan lebih bersedia menghadapi cabaran di masa hadapan dengan pengetahuan yang luas dan pemikiran yang kreatif, " ujarnya.

Beliau turut menyampaikan anugerah kepada Nurul Fatihah binti Mohd Arif bagi Anugerah Ikon Membaca Negeri Kelantan 2024, keluarga Abdul Rahman bin Yusuf bagi Anugerah Ikon Keluarga Membaca Kelantan 2024 dan Syaima Hairi bagi Anugerah Pembaca Harapan 2024.

Mengulas mengenai program Hari Iqra' dan Pesta Buku Darul Naim 2024, Dato’ Mohd Nassuruddin berkata, Kerajaan Negeri  Kelantan amat mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya program seperti itu diadakan di negeri ini.

"Kalau boleh program seperti ini tidak tertumpu di Kota Bharu sahaja, malah dikembangkan ke lokasi-lokasi strategik di daerah lain agar usaha untuk memartabatkan ilmu pengetahuan dan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dapat disebarluaskan secara lebih merata,” katanya lagi. 

Program tersebut berlangsung selama enam hari bermula 26 hingga 31 Ogos 2024 di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu dengan pelbagai acara menarik. Untuk maklumat lanjut boleh ikuti laman Perpustakaan Awam Kelantan. 

Sempena majlis perasmian, turut dilancarkan buku karangan Dr Haji Mohd Zin bin Mahmood, tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Kelantan tahun 1444H yang bertajuk Agungnya Kitab Suci al-Quran.

Hadir sama, Pengerusi PPAK yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhammad, Timbalan Pengerusi PPAK, YB Bahari Mohamad Nor, Pengarah PPAK Ahmad Syamsul Bahrain Isa dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Bhd, Salim Mydin Mohamed.


Kredit gambar FB MB Mohd Nassuruddin Haji Daud

Post a Comment

0 Comments