Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN SEDIA JADI HAB INDUSTRI PERUBATAN, PERKILANGAN

Oleh: Saliemin Khesa Ahmad

PENGKALAN CHEPA, 27 Ogos - Pembangunan lebuh raya dan peningkatan infrastruktur yang semakin pesat di Kelantan ketika ini membuatkan negeri itu bersiap sedia untuk menjadi hab bagi industri perubatan dan perkilangan menjelang tahun 2027.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawan, YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata, pihaknya yakin dengan pembangunan rancak di Kelantan dapat menambah baik sektor pembuatan dan perkhidmatan serta menarik minat para pelabur dari seluruh negara.

"Kita tahu ketika ini adanya projek lebuh raya, ECRL, naik taraf lapangan terbang, pelabuhan dan sebagainya akan memudahkan para pelabur untuk datang ke Kelantan khususnya dalam industri perkilangan.

"Ain Medicare Sdn. Bhd. ini satu contoh yang terbaik kita boleh lihat di Kelantan.

"Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, membekalkan keperluan perubatan dan sebagainya dapat membantu meningkatkan ekonomi negeri ini.

"Syarikat ini juga sudah dikenali di seluruh Malaysia dan sememangnya berdaya saing dengan syarikat-syarikat di negara maju yang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat dan kunjungan ke Kilang Ain Medicare Sdn. Bhd. pada Selasa.

Tambahnya, pasaran produk serta jualan yang dihasilkan oleh Ain Medicare melalui tiga sektor iaitu sektor awam (58 peratus), sektor swasta (30 peratus) dan eksport (12 peratus) telah mencapai lebih RM500 juta.

Jelas beliau, penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan jaringan jalan raya kelak akan mengembangkan lagi industri perubatan dan farmasi di Kelantan.

Menjawab pertanyaan berkenaan cabaran logistik disebabkan peningkatan harga diesel semasa ketika ini, beliau memaklumkan ia tidak menjadi penghalang utama dalam mengembangkan industri perkilangan terutamanya di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa  di negeri itu.

"Ya, cabaran itu memang tetap ada.

"Tapi kita kena terus 'hidup' sebab kita tahu kenderaan-kenderaan yang digunakan di kilang-kilang sememangnya menggunakan diesel.

"Insya-Allah walaupun bagi sesetengah pihak beranggapan ia sebagai bebanan yang besar, namun Ain Medicare ini membuktikan mereka mampu untuk tetap terus berkembang maju," katanya.

Untuk rekod, kilang Ain Medicare Sdn. Bhd. membekalkan pelbagai perkhidmatan perubatan dan farmasi khususnya dalam produk-produk berkaitan larutan intravena, larutan peritonil (cuci buah pinggang), larutan hemodialisis dan larutan antimikrob yang mementingkan kualiti ubat dengan menggunakan sumber air dari bumi Kelantan melalui proses-proses tertentu dengan bantuan pakar dalam bidang perubatan.

Selain itu, beliau juga turut mengadakan kunjungan dan lawatan ke tapak kilang Erawan LMW Industries Sdn. Bhd. di Tawang, Bachok yang merupakan antara kilang pembuatan silinder gas LPG terbesar di Pantai Timur.

Turut menyertai dalam lawatan itu, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan  Malaysia (MIDA) Negeri Kelantan, Wan Mohd Supian Wan Deris, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK (Pembangunan Perancangan), Ir. Hamdzah Abdul Rahman, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) dan wakil Invest Kelantan.


Post a Comment

0 Comments