GUA MUSANG: Cadangan pihak pendakwaraya supaya jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ditolak Hakim Mahkamah Sesyen Gua Musang Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Peguam tertuduh Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah yang dipohon pihak pendakwaraya adalah keterlaluan berdasar kes terdahulu.
Katanya, asasnya Seksyen 4(1) Akta Hasutan jika tertuduh disabitkan kesalahan hanya dikenakan tidak lebih RM5,000 atau 3 tahun penjara.
“Sedangkan jumlah itu empat kali ganda daripada jumlah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes tersebut hari ini.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar.
Manakala Muhyiddin turut diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pendakwaan.
Hakim turut menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan hasutan berdasar ucapannya sempena ceramah umum ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Felda Perasu 14 Ogos lepas.
Takiyuddin juga berkata, kes tersebut diklasifikasi sebagai kes jenayah dan mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Menurutnya juga mahkamah menolak hujah pendakwaraya kerana ia dibuat berasaskan andaian.
“Kesimpulan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan keduanya mahkamah menolak perintah larangan daripada mengucapkan perkara yang sama.
“Jadi permohonan pendakwaraya itu dibantah peguam tertuduh kerana hujah pendakwaraya berdasar kepada andaian,” ujarnya.
0 Comments