Oleh : Asri Hamat
KOTA BHARU, 27 Ogos- Tahap kebersihan di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu berada dalam keadaan memuaskan.
YB Timbalan Menteri Besar, Dato' Dr Fadzli Dato' Hassan berkata, keadaan tersebut membuktikan bahawa tohmahan yang mengatakan Kelantan adalah negeri yang kotor adalah tidak benar.
"Saya berpuas hati dengan tahap kebersihan yang sentiasa dijaga di pasar ini. Malahan pasar ini telah mendapat anugerah pasar terbersih seluruh negara pada 2021. Pengiktirafan ini membuktikan segala tohmahan orang terhadap tahap kebersihan di Kelantan adalah tidak benar. Selepas pengiktirafan tersebut, ramai yang datang ke Kelantan untuk melawat dan belajar daripada kita.
"Soal kebersihan ini juga, ia menjadi salah satu agenda utama Kerajaan Negeri Kelantan selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam".
Beliau berkata demikian menerusi catatan di media sosial miliknya selepas mengadakan lawatan separa resmi di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu pada Isnin.
Mengenai harga barang, beliau berkata harga barangan yang dijual masih murah dan berpatutan.
"Kalau nak barang murah datanglah ke Kelantan, kalau nak makan-makan datanglah ke Kelantan. Dan saya berharap para peniaga di sini mengekalkan identiti Kelantan, jangan ambil kesempatan, biar harga barang kita lebih murah berbanding tempat lain.
"Jagalah tutur kata dan budi bahasa, sentiasa ramah dan mesra, apatah lagi kita terkenal dengan rakyat dan negeri beragama. Orang sentiasa memerhatikan kita, sedikit sahaja kecuaian akan diperbesarkan", pesannya.
Beliau juga turut menerima aduan daripada wakil persatuan peniaga untuk diambil tindakan oleh pihak kerajaan.
"Saya akui ada perkara yang perlukan tindakan segera, ada yang perlukan perbelanjaan yang besar. Ini semua memerlukan masa dan kita akan usahakan mengikut kemampuan yang ada.
"Ada benda yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan ada juga komitmen daripada Kerajaan Persekutuan," ujarnya.
Terdapat pelbagai jenis barangan yang dijual di Pasar Khadijah dari barangan berasaskan tembaga hingga barangan berasaskan besi, pakaian, makanan seperti kuih-muih dan lauk pauk, perhiasan serta lebih daripada 40 kedai emas tulen.
Kredit gambar FB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
0 Comments