Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 6 Ogos - Sehingga tahun 2023, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menerima sebanyak 1547 lot tanah yang bernilai lebih RM3.5 juta untuk diwakaf dan didaftarkan di bawah kawalan MAIK.
Yang Dipertua MAIK Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato' Mohd Rizam Tengku Abd Aziz berkata, selaku badan pengawal tunggal hartanah wakaf di Negeri Kelantan, MAIK telah memanfaatkan tanah wakaf tersebut dengan pelbagai projek pembangunan.
"Alhamdulillah, sebahagian besar tanah-tanah yang diwakafkan telah dimanfaatkan untuk pembinaan masjid, tanah perkuburan Islam, pusat tahfiz, sekolah, bangunan perniagaan, pusat penempatan pelajar tahfiz dan anak yatim di Kompleks Islam Jubli Perak Panji.
“Termasuk juga pusat latihan muallaf di Tumpat, pusat latihan jahitan dan masakan untuk golongan muallaf serta Pusat Perkhidmatan Intervensi kanak-kanak Autisme. Selain itu, tanah-tanah wakaf tersebut juga digunakan untuk tujuan pertanian yang menjadi sumber sekuriti makanan negara."
Tengku Temenggong Kelantan itu berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Bulan Wakaf MAIK 2024 di Hotel Perdana, Kota Bharu hari ini.
Menurutnya, kini pihak MAIK sedang membina dua tapak tanah perkuburan Islam terancang di atas tanah wakaf MAIK di jajahan Kota Bharu dan Pasir Mas.
"Di Tanjung Chat, jajahan Kota Bharu seluas 2.67 ekar tanah wakaf dibangunkan untuk pembinaan tanah perkuburan Islam terancang, manakala di Rantau Panjang, jajahan Pasir Mas, seluas 5.75 ekar tanah wakaf juga dibangunkan untuk tujuan yang sama", ujar beliau lagi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Ustaz Mohd Asri Daud, Sohibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Mohamad Shukri Mohamad, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Hasnan Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato' Sheikh Zakaria Othman.
0 Comments