Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 7 Ogos - Status pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) yang melibatkan laluan sejauh 67.56 kilometer (km) kini mencapai kemajuan 20.5 peratus.
Exco Kerjaraya YB Dato’ Dr Izani Hussin memaklumkan perincian kemajuan semasa pelaksanaan projek tersebut sehingga Jun 2024 ialah Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7.00 km dan Pakej 2A: dari Kadok ke Ketereh sejauh 6.85 km, kedua-duanya sudah siap sepenuhnya.
Katanya, Pakej 2B (Ketereh ke Kok Lanas) berjarak 6.20 km diberi tender semula manakala Pakej 2C dari Kok Lanas ke Machang sepanjang 19.13 km sudah siap 31.93 peratus. Sama statusnya dengan Pakej 3A iaitu Machang ke Bukit Tiu.
Tambahnya, salah satu daripada lapan sub-pakej KBKK ialah jajaran Lebuh Raya Rakyat (LRR) yang bermula di Bukit Tiu, Machang ke Kampung Berangan Mek Nab juga sedang rancak berjalan.
“Kita berpuas hati dengan kerja-kerja di Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab sejauh 10.00 km ini sudah mencapai kemajuan 35.34 peratus. Pakej 3B dari Kampung Berangan Mek Nab ke Keroh sepanjang 9.78 km pula sudah selesai 32.67 peratus.
“Sementara Pakej 3C (Keroh ke Kuala Krai) berjarak 8.60 km juga mencapai kemajuan pelaksanaannya sebanyak 23.17 peratus,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Pembinaan Lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (CSR) sepanjang 295.7 kilometer melibatkan laluan Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan.
Tambahnya pembinaan lebuh raya CSR dan KBKK dengan kos keseluruhan pembinaan RM9.5 bilion itu dapat mengatasi masalah kesesakan terutama ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan.
“Saya yakin perantau anak Kelantan, pelancong domestik dan pengguna lebuh raya lain amnya pastinya teruja untuk merasai perjalanan singkat Kuala Lumpur ke Kota Bharu atau balik ke Kuala Lumpur semula dalam masa 6 jam sahaja.
"Insya Allah kita sama-sama doakan projek ini dapat disiapkan sebagaimana jadualnya pada Ogos 2025,” ujarnya.
0 Comments