Ticker

6/recent/ticker-posts

GUA MUSANG BANDAR WARISAN


Oleh: Norzana Razaly 

Asal usul

Gua Musang dikenali sejak tahun 1920. Nama itu diberikan oleh orang asli berikutan terdapat beberapa buah gua yang terbentuk di kawasan berbukit di sebelah timur stesen kereta api Gua Musang.


Salah sebuah gua itu memiliki batu yang menyerupai seekor musang sedang menerkam ayam. Cerita lisan lain pula menyebut nama Gua Musang diperolehi ekoran peristiwa orang asli berburu di kawasan bukit dan terserempak dengan ayam hutan yang dikejar musang.


Perburuan mereka tidak berhasil kerana sentiasa tertembung dengan musang yang mengejar ayam-ayam hutan, kemudian musang itu lari ke dalam gua berdekatan. Lalu tempat itu dipanggil Gua Musang.


Tiga daerah

Berkeluasan 636,126.18 hektar, Gua Musang terbahagi kepada tiga daerah iaitu Bertam (237,51.66 hektar) dihuni oleh 16,179 orang, Galas (81,002.13 hektar) berpenduduk seramai 51,249 orang dan Chiku (305,556.54 hektar) dihuni 29,542 penduduk.




Daripada pecahan itu, tanah kerajaan direkodkan berkeluasan 27.9 peratus iaitu 172,366.17 hektar. Manakala tanah hakmilik merangkumi hakmilik Pejabat Pendaftar dan hakmilik mukim ialah 139,522.37 hektar atau 21.9 peratus. Sementara tanah hutan simpan merangkumi 50.9 peratus atau 223,886 hektar.



Gua Musang rancak mengalami pembangunan infrastruktur dan limpahan ekonomi semakin ketara apabila siap Lebuh raya Lingkaran Tengah Utama atau Central Spine Road (CSR). Rentetan itu, Kerajaan Negeri dan Persekutuan merancang teliti pelan pembangunan utama di Gua Musang sebagai bandar warisan merangkumi komponen bandar baharu iaitu Bandar Dato’ Bentara, Bandar Halaqah (Halaqat City) dan Bandar Perabot (Madinatul Athathi) serta Bandar Kota Sejahtera.


Bandar Dato’ Bentara

Bandar Dato’ Bentara sudah pun diluluskan melalui Rancangan Kawasan Khas (RKK) berasaskan peruntukan Subseksyen 16B (2), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).


Bandar Dato’ Bentara di Kampung Panggung Lalat yang melibatkan kawasan milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu dijangka siap pada 2035 dan ditadbir urus di bawah pentadbiran Majlis Daerah Gua Musang (MDGM). 



Menurut Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud, lokasi bandar baharu itu hanya 8 kilometer dari Bandar Gua Musang, 200 kilometer dari Bandar Kota Bharu, 75 kilometer dari Lojing dan 110 kilometer dari Cameron Highlands menjadikan ia sangat strategik berfungsi sebagai Bandar Agropelancongan.


“Bandar Dato’ Bentara adalah kawasan pembangunan bandar baru yang terletak di Mukim Batu Papan, Daerah Galas, Gua Musang. Rancangan Kawasan Khas (RKK) bagi bandar ini disediakan kerana ia akan menjadi satu kawasan tarikan pelancongan yang baharu selain Lojing Highlands.


“Projek ini melibatkan pembangunan di atas tanah yang berkeluasan 4,123.16 ekar atau 1668.59 hektar merangkumi enam komponen iaitu perindustrian, perumahan, perniagaan, pertanian, pelancongan, institusi dan kemudahan awam.


“Bandar baharu ini mempunyai daya tarikan alamiah dan tumpuan penduduk sekitar dan pelancong kerana berada di tengah-tengah laluan antara Kuala Betis-Gua Musang-Lojing,” jelas Nik Raisnan ketika ditemubual editorial Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) baru-baru ini di pejabatnya.


Bandar Halaqah, Chiku 3 

Halaqat City yang berkeluasan 1500 ekar dirancang pembangunannya di Bandar Chiku 3.


Katanya, visi bandar tersebut ialah untuk mewujudkan bandar Islamik yang berteknologi pintar dan mampan. Manakala misi pembangunan bandar itu pula ialah untuk membina perbandaran inklusif iaitu Islamik yang syumul melalui pendekatan wasatiyyah dalam membentuk khalifah generasi baharu dan pembangunan lestari.


Buku profil Jajahan Gua Musang 2023 menyenaraikan empat objektif pembangunannya iaitu pertama, mentransformasikan Bandar Chiku 3 sebagai bandar raya Islamik dan kedua menjadikan bandar raya yang mesra dengan penggunaan teknologi maklumat.  Sementara matlamat ketiga pula ialah merealisasikan inisiatif bandar rendah karbon dan keempat untuk mengekalkan keseimbangan biodiversiti dan kehidupan alam.


Bandar Halaqah akan mentransformasikan Chiku 3 sebagai bandar raya Islamik yang menjana 37,000 populasi dan memberi peluang pekerjaan dan perniagaan dengan penyediaan lot-lot komersial dan perindustrian.


Tujuh idea mega memacu pertumbuhan Perbandaran Islamik, Perbandaran Pintar, Perbandaran Rendah Karbon, Perbandaran Mobiliti, Perbandaran Generasi Baharu, Perbandaran Pertumbuhan Katalis dan Simbiosis Taman Syurga.


Nama perbandaran itu juga berinspirasikan nama syurga iaitu Firdaus, Adnin, Na’im, Ma’wa, Darussalam, Darul Muqamah, Al Maqaamul dan Khuldi.


Prasarana kondusif

Prasarana yang kondusif dan mesra alam disediakan di Halaqah City merangkumi kemudahan utama seperti hospital, presint kerajaan, masjid, kompleks sukan, pusat kejiranan, taman bandar dan kawasan rekreasi. Seterusnya komponen perumahan menawarkan perumahan mampu milik dan pangsapuri. 


Dilengkapi dengan plot perniagaan, kompleks beli-belah dan kompleks bank. Terdapat juga perniagaan pelancongan seperti taman tema air, pusat komersial persisir air (waterfront commercial) dan pusat sukan lasak bermotor.


Tidak terkecuali aspek pendidikan, sebuah pusat latihan vokasional dan teknikal (tvet) juga dirancang pembinaannya. Di samping plot perindustrian iaitu kompleks IKS yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan penjualan produk industri kecil dan sederhana


Kilang Simen, Chiku 8 

Kilang simen di Chiku 8 sedang dijalankan kerja-kerja pembersihan tapak yang sudah mencapai kemajuan 40 peratus.



Kilang tersebut dibangunkan oleh ASN Group melalui anak syarikat iaitu ASN Cement Sdn. Bhd. membabitkan pelaburan RM1.38 billion dengan usahasama antara Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dan ASN Cement Sdn. Bhd.


Komponen pembangunannya merangkumi sebuah kilang pemprosesan simen di atas tanah keluasan 100 hektar bersama binaan tapak kuari (bukit batu kapur) yang dibahagi kepada dua plot iaitu 333 hektar untuk kuari tanah liat manakala 112 hektar untuk kuari batu kapur.


Pembinaan kilang ini dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk tempatan dan seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Kelantan.


3 Fasa Pembangunan Madinatul Athathi

Projek pembangunan Madinatul Athathi (Bandar Perabot) ialah komponen projek pembangunan taman perindustrian yang terletak di dalam kawasan industri Gua Musang. Tapak pembangunannya merangkumi 350 ekar.


Pelan pembangunan Madinah Athathi (Bandar Perabot)


Pelaburan industri perabot pula melibatkan pembinaan dua buah kilang perabot dan satu untuk tapak nurseri di atas tanah seluas141 hektar.


Pembangunan bandar yang dikendalikan oleh Syarikat MCkift Management Committee Sdn. Bhd. itu dijalankan melalui tiga fasa iaitu fasa 1 dianggarkan menelan kos RM77 juta, fasa 2 pula dengan anggaran kos RM37 juta.  Manakala perbelanjaan untuk fasa 3 dianggarkan berjumlah RM47 juta.


Bandar lama berubah

Hari ini pembangunan rancak berpusat di Bandar Utama Gua Musang yang telah dirasmikan oleh mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 2010. 


Menariknya, tempias daripada pembangunan bandar baharu, bandar lama juga turut berubah wajah dengan pembinaan projek perumahan di sekitar Masjid Razaleigh. Tidak ketinggalan, pembangunan di Kampung Pulai dan berhampiran Pejabat Pos Gua Musang di bandar lama.


Bandar baharu terus berkembang sehingga ke Masjid Buluh di jalan Gua Musang-Kuala Krai yang diilhamkan pembinaannya juga oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Seterusnya, pembangunan bandar semakin rancak dengan munculnya Bandar Utama Gua Musang.


Bandar Kota Sejahtera 

Tiga projek bercampur yang akan dilaksanakan di kawasan tidak jauh daripada Masjid Buluh bakal menjadi sebuah lagi mercu tanda pintu masuk ke Bandar Gua Musang.

Azman Ahmad


Menurut Ahli Majlis Gua Musang, Azman Ahmad , terdapat sebanyak 36 unit rumah kedai dan pejabat tiga tingkat serta 22 unit rumah teres dua tingkat dirancang untuk dibina di kawasan milik persendirian yang dibuat pengambilan semula melibatkan kawasan seluas 4.97 ekar.


“Perancangan pembangunan itu sudah diangkat kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN). Di Chiku juga sedang dibangunkan Bandar Kota Sejahtera yang melibatkan kerjasama syarikat MSO dengan MDGM. 

“Sekarang MSO beri kepada sub kontraktor untuk menyiapkan projek tersebut. Perkembangan projek itu sekarang sekitar 30 peratus.


“MDGM juga merancang menyediakan tempat khas untuk dibangunkan institusi pengajian tinggi di Batu 6 Gua Musang yang membabitkan kawasan seluas lebih kurang 100 ekar, tidak jauh daripada Bandar Utama Gua Musang. 


“MDGM sudah mewartakan kawasan itu iaitu milik kerajaan sebagai tapak universiti. Perundingan juga dibuat dengan beberapa universiti bagi membolehkan mereka mewujudkan cawangan di Gua Musang,” jelas Azman.


Kem tentera di Kampung Jerek dan satu lagi pusat tahfiz di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) juga dirancang untuk dibangunkan di kawasan seluas 15 ekar di Limau Kasturi. Pusat tahfiz dipindahkan keluar dari bandar kerana suasana lebih sesuai dan jauh daripada kesibukan bandar. 


“Sekolah tahfiz tidak sesuai dibina di kawasan bandar yang sibuk. Tanah yang dicadangkan tersebut merupakan tanah kerajaan, namun diteroka penduduk. Dan tanah tersebut kesemuanya dianggar seluas 25 ekar akan dibuat pengambilan oleh Kerajaan Negeri. 


“Lokasi tersebut sesuai dibina sekolah tahfiz. Kerajaan Negeri sudah membuat pengambilan semula tanah daripada orang kampung. Lokasinya berhampiran jambatan dan tidak jauh daripada sungai,” hurai Azman.


Majlis Perbandaran Gua Musang

Rentetan pembangunan pesat di Gua Musang, MDGM menyasarkan ke arah penaiktarafan berstatus perbandaran pada tahun 2025 atau 2027. Syarat untuk mendapatkan status itu ialah kutipan hasil perlu melebihi RM20 juta setahun dengan jumlah penduduk 120,000 orang. 


Menurut Azman, MDGM kini mampu memungut hasil RM20 juta setahun. Jumlah penduduk pula  ialah 105,000 orang. Sasaranya ialah supaya penduduk bertambah kepada 120,000 orang. 


“Usaha ke arah itu akan menjadi lebih mudah dengan kewujudan lebih banyak taman perumahan untuk mencapai tahap perbandaran. Hasil yang diperolehi sekarang antaranya cukai taksiran dan syarikat perladangan. 


“Kerajaan Negeri juga mempunyai ladang di Sungai Terah. Cukai taksiran juga diperolehi daripada kilang-kilang dan aktiviti perlombongan. Di Aril terdapat lima lesen lombong yang dilulus kerajaan. Kita juga akan perluaskan kawasan operasi MDGM sampai ke Ciku,” jelas Azman lagi.


Tuntasnya, pembangunan bandar baharu itu bakal mentransformasi wajah Gua Musang daripada ladang menjadi bandar warisan. Tidak mustahil Gua Musang muncul sebagai bandar yang pesat membangun kedua selepas Kota Bharu. Sementelahan lokasinya yang strategik untuk ke Perak, Cameron Highlands, Terengganu dan Kuala Lumpur.


Post a Comment

0 Comments