KOTA BHARU: Kerajaan negeri merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Nurfisya Zulkifli, 19, yang meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pemergian Allahyarhamah dalam keadaan sedemikian memberi kesan mendalam, khususnya kepada keluarganya.
“Sesungguhnya ini adalah ujian yang sangat berat buat keluarga,” katanya pada kenyataan di media sosialnya semalam.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang pelajar kolej ditemui mati dengan 61 kesan tikaman, dipercayai dibunuh dalam kereta sebelum mayatnya diletakkan atas jalan di Kampung Simah, Ketereh.
Menurut laporan mangsa berusia 19 tahun berasal dari Perak baru memulakan pengajian selepas cuti semester sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku.
Wan Roslan turut berharap agar seluruh ahli keluarga diberi kesabaran, kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan tersebut.
“Buat seluruh ahli keluarga, khususnya saudara mara terdekat, semoga dikurniakan kesabaran, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
“Semoga diberikan ketenangan hati dalam menerima takdir Ilahi. Saya mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan hamba Allah SWT yang beriman dan beramal soleh," katanya.
Beliau turut berharap agar keadilan dapat ditegakkan dan insiden berkenaan menjadi peringatan kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dato’ Rohani Ibrahim pula berkata, peristiwa yang berlaku itu bukan sekadar berita, sebaliknya ia satu peringatan besar buat kita semua, khususnya wanita di Kelantan.
Kata beliau golongan wanita hendaklah sentiasa menaga keselamatan diri walaupun di mana sahaja berada.
“Elakkan situasi berisiko dan sentiasa maklumkan pergerakan kepada keluarga. Jangan abaikan tanda awal hubungan toksik atau ancaman.
“Hati kita berat menerima berita seorang anak muda wanita yang terkorban dalam tragedi menyayat hati di Ketereh. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman,” ujarnya.




0 Comments