Ticker

6/recent/ticker-posts

PENDUDUK TANAH MERAH DAPAT AIR TERAWAT DALAM MASA TERDEKAT- EXCO KERJARAYA

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 1 Ogos- Seluruh penduduk Tanah Merah dijangka akan mendapat bekalan air bersih dan terawat dalam masa terdekat apabila pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) jajahan Tanah Merah merancang untuk menaik taraf jumlah bekalan air semasa daripada 50 Juta Liter per Hari (JLH) kepada 100 JLH.

Exco  Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, YB Dato' Dr Izani Husin berkata, pihaknya telah membentangkan dapatan, isu-isu dan perancangan yang akan dilakukan untuk mencapai tujuan tersebut ketika lawatan kerja beliau ke pejabat AKSB Tanah Merah. 

"Antara isu yang diketengahkan dalam lawatan kerja ini adalah berkaitan paip utama yang bocor, tekanan air yang rendah, paip lama yang uzur serta masalah meter tersumbat. 

"Melihat kepada isu-isu tersebut, AKSB Tanah Merah telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan menukarkan paip bocor dan uzur serta mengenal pasti beberapa loji air untuk dinaik taraf", katanya menerusi catatan di media sosial miliknya pada Rabu. 

Menurut beliau lagi, penukaran paip bocor akan dapat menurunkan kadar air tidak terhasil "Non-Revenue Water" (NRW). 

"Dengan komitmen dan kerjasama yang utuh daripada semua kakitangan AKSB Tanah Merah ini, In Syaa Allah tidak lama lagi seluruh penduduk di sini akan dapat menikmati sumber air bersih dan terawat di rumah masing-masing tanpa sebarang masalah", catatnya lagi. 

Turut serta dalam lawatan kerja pada Ahad ialah Timbalan Pengurus Besar Kewangan dan Korporat AKSB, Azhar Hanafi, Ketua Jabatan Hasil, Mohd Safrurazi Salleh, Ketua Jabatan Korporat, Milawati Mohd Nawi dan  Ketua Jabatan Operasi, Dr Hilmi P.Ramli. 

Taklimat disampaikan oleh Pengurus AKSB jajahan Tanah Merah, Ezze Ezani.



Post a Comment

0 Comments