GUA MUSANG: Ada peneroka di Kesedar Sungai Asap A agak bernasib apabila mendapat geran lot kebun getah dan tapak rumah ketika di bawah kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah.
Seorang peneroka Wan Ahmad Wan Abdullah, 79 berkata, beliau berusaha sendiri untuk mendapat hak milik tanah lot kebun getah yang terletak di luar kawasan Kesedar pada awal 1990-an.
Kata beliau lot kebun tersebut merupakan tanah kerajaan di tepi jalan utama Kuala Krai-Gua Musang berhampiran Renok diberi kelulusan oleh kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah untuk ditanam getah.
Wan Ahmad juga berkata, lot kebun tersebut seluas enam ekar berada di luar kawasan dibayar premium oleh Kesedar kepada kerajaan negeri.
Wan Ahmad |
"Bukan mudah nak dapat geran sehingga kena cari peguam, banyak perkara kita buat sehingga terpaksa naik turun mahkamah sehingga akhirnya mendapat geran," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun kata beliau lot kebun di bawah Kesedar hanya diterima sekitar 4 ekar, di mana sejak 10 tahun lepas terlibat dengan projek tanaman semula.
Katanya projek tanaman semula itu sudah melewati 10 tahun, namun sehingga sekarang kebun tersebut seperti terbiar kerana ada anak sawit yang mati tidak diganti semula.
“Saya menerima bayaran sara hidup sehingga sekarang daripada Kesedar. Kita tidak tahu sampai bila bantuan sara hidup akan dibayar kepada peneroka terlibat.
“Kita bimbang bantuan sara hidup yang diberi sekarang akan menjadi hutang dan perlu dibayar balik pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu Penghulu Dun Nenggiri Hadi Daud berkata, bukan mudah peneroka ketika awal 1990-an mahu mendapat geran lot kebun dan tapak rumah kerana tidak mendapat kerjasama Kesedar.
Penghulu Hadi |
Namun katanya ketika itu peneroka sepakat memperjuangkan nasib mereka dengan sokongan pemimpin PAS dan Semangat 46.
Kata beliau ada peneroka di Sungai Asap bernasib baik kerana tetap memperjuangkan hak mereka sehingga mendapat hak milik kebun dan lot rumah dikeluarkan kerajaan negeri.
“Bagaimanapun ramai lagi peneroka lain tidak mendapat geran lot rumah dan kebun sehingga sekarang biar pun sudah berpuluh tahun tinggal di RKT Kesedar Sungai Asap,” ujarnya.
0 Comments