GUA MUSANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Nenggiri 17 Ogos kelihatan agak berbeza di mana Umno dilihat tidak ghairah seperti di tempat-tempat lain meraikan kemenangan.
Sekadar menjulang tangan calon Mohd Azmawi Fitri pada malam 17 Ogos lepas di pentas pengumuman keputusan PRK tersebut.
Kemudian keesokan hari media memaparkan gambar Adun baharu Nenggiri turun padang menemui penduduk di Dun terbabit selepas bergelar YB.
Persoalannya mengapa Umno tidak serius meraikan kemenangan itu, mungkinkah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
Seperti kata pengundi keseronokan Umno menambah satu lagi kerusi Dun di Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak diperkatakan secara meluas.
Malah, kata mereka kekalahan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail dianggap lebih bermaruah kerana mempertahankan moral tinggi.
Perkara itu juga ditegaskan Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Tan Sri Annuar Musa, PN mempertahankan nilai integriti sepanjang kempen berlangsung selaras dengan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya.
Di sebaliknya kisah yag tersembunyi itu ramai pengundi di Dun Nenggiri tiba-tiba tampil mendakwa mereka ditawar sesuatu dengan syarat mengundi calon parti kerajaan pusat.
Kata mereka isteri dan anak penduduk di Dun Nenggiri menjadi sasaran ejen parti politik yang datang bukan dengan tangan kosong.
“Ada sampul surat memaparkan gambar calon, di dalamnya ada wang. Di sampul surat itu ada juga dicatat nama pengundi, tempat mengundi dan saluran mana,” kata mereka ketika ditemui.
Ahmad Razif, 46 (bukan nama sebenar) dari Jeram Tekoh mendakwa ada ejen parti datang ke rumahnya sebelum hari mengundi dengan membawa wang untuk diberi kepada dua anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur.
“Disebabkan anak dua anak saya tidak pulang mengundi hanya diberi RM100 seorang kerana nama mereka berada dalam senarai pemilih berdaftar.
“Saya juga mendapat maklumat daripada penduduk, golongan atas pagar diberi sebanyak RM300 dengan syarat mengambil foto undi parti tertentu di kertas undi ketika hari mengundi,” katanya.
Mengulas perkembangan itu Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang Fadli Zain berkata, kemenangan besar Umno pada PRK 17 Ogos lepas memang tidak dijangka banyak pihak berdasar gerak kerja mereka.
Fadli Zain |
Katanya, Umno tidak agresif seperti di tempat-tempat lain dan situasi itu jauh berbeza dengan petugas PN.
“Sepanjang kempen berlangsung dan hari mengundi situasi di Nenggiri didominisi PN dengan kehadiran petugas pilihan raya dari seluruh negara.
“Namun rupa-rupa Umno bergerak dalam senyap dengan menumpukan kumpulan pengundi atas pagar dan penyokong Umno serta anak-anak muda tempatan.
“Saya difahamkan ada ejen parti keluar masuk kampung terutamanya pada malam Sabtu sehingga berlaku kesesakan luar biasa di Kesedar Jeram Tekoh,” katanya.
0 Comments